SHAH ALAM - Persepsi masyarakat yang beranggapan demensia atau nyanyuk adalah satu normal bagi warga emas menyebabkan kebajikan golongan itu terabai tanpa rawatan susulan.
Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Profesor Madya Dr Halimatus Sakdiah Minhat berkata, kerajaan perlu mempertingkat kempen kesedaran bagi mengubah persepsi tersebut.
"Kerana persepsi inilah, warga emas tidak mendapatkan rawatan yang sewajarnya (berjumpa doktor).
"Kalau kita urus warga emas dengan betul, mereka sebenarnya boleh memperoleh kehidupan yang lebih baik dan berkualiti pada usia tua,” katanya kepada Sinar Harian.
Tambah beliau, kesedaran dalam kalangan komuniti adalah penting sebagai langkah untuk mencegah demensia bagi melindungi warga emas daripada menderita akibat penyakit berkenaan.
Menurutnya, kesedaran merangkumi pemakanan, rangsangan fungsi kognitif serta aktiviti bersosial secara sihat yang telah terbukti mampu menangguhkan dan mencegah demensia.
"Malaysia dijangka menjadi sebuah negara tua pada tahun 2030, yang mana 14 peratus daripada penduduk merupakan individu berumur 65 tahun dan ke atas.
"Pelbagai implikasi kesihatan mahupun sosial dan ekonomi berlaku seiring dengan penuaan penduduk, antaranya peningkatan kes demensia dalam kalangan warga emas,” ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca