SHAH ALAM - Meskipun kadar bayaran kerja lebih masa diterima tidak setimpal dengan keringat dicurahkan, operator pengendali kren terpaksa melakukannya kerana bimbang hilang mata pencarian. Pengerusi Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Industri... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Meskipun kadar bayaran kerja lebih masa diterima tidak setimpal dengan keringat dicurahkan, operator pengendali kren terpaksa melakukannya kerana bimbang hilang mata pencarian.

Pengerusi Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Industri Binaan Malaysia, Alias Yaakob berkata, kebanyakannya enggan membuat aduan menerusi saluran rasmi kerana bimbang sukar untuk mendapat projek seterusnya sekiranya nama sudah naik ke peringkat atasan.

"Lagipun, menara kren yang beroperasi di Malaysia ketika ini hanya ada lebih kurang 2,500 unit, sedangkan kita mempunyai lebih daripada 4,000 operator.

"Jadi, mereka tidak berani membuat aduan dan terpaksa pendamkan soal pembayaran kerja lebih masa yang tidak mengikut kadar sepatutnya,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Alias, mereka terpaksa akur apabila tidak diberi bayaran kerja lebih masa dengan cara yang betul, sebaliknya dimasukkan secara lump sum dalam gaji keseluruhan.

Ujar beliau, situasi menjadi lebih teruk apabila terdapat syarikat yang mengelak daripada membayar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan mengasingkan bayaran elaun daripada gaji bersih.

"Misalnya, ada majikan yang sepatutnya mencarum KWSP berdasarkan gaji pokok, sebaliknya elaun tersebut diberikan berasingan, mereka cuma mencarum berdasarkan gaji asas sahaja,” jelasnya.

Tambah Alias, usaha membawa aduan ke peringkat lebih tinggi pernah dilakukan, tetapi ramai yang menarik semula aduan berkenaan selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana khuatir akan hilang mata pencarian.

Beliau bagaimanapun memaklumkan akan mengadakan pertemuan bersama Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) bagi membincangkan isu tersebut.

"Dua hari lepas kita ada berhubung dengan MTUC untuk membincangkan tentang perkara ini dan kita akan bentangkan dalam waktu terdekat.

"Kesatuan amat berharap usaha ini akan berjalan lancar dan pekerja akan mendapatkan semula hak mereka,” ujar beliau.

Klik di sini untuk terus membaca