SHAH ALAM - Hukuman berbentuk kekerasan dan keganasan tidak sepatutnya dikenakan kepada banduan kerana hukuman penjara sahaja mencukupi bagi memberi pengajaran kepada golongan itu.
Pengurus bersama Tetuan Fahri, Azzat & Co., Fahri Azzat berpandangan, sebarang bentuk hukuman seharusnya menjadikan masyarakat lebih menghormati undang-undang dan bukan memberi kegerunan.
"Kita nak orang betul-betul hormatkan undang-undang dan bagi saya, kekerasan itu tidak semestinya cara menegakkan undang-undang.
"Kegerunan hanya satu bentuk ketakutan, namun kita tak nak orang ikut undang-undang sebab takut. Setiap orang perlu patuh undang-undang sebab hormat dan faham apa impak sekiranya langgar undang-undang itu,” katanya pada program Di Sebalik Isu bersama FY dengan tajuk 'Mansuh Hukuman Sebat, Penjenayah Hela Nafas Lega?’ yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Jumaat.
Turut diundang menjadi panelis ialah Pensyarah Kanan Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Universiti Malaya (UM), Dr Noor Aishah Rosli dan bekas pesalah, Mohd Nuri Selajudin manakala Finaz Yusuf sebagai hos program.
Dalam pada itu Fahri berpandangan, kerajaan seharusnya mengambil pandangan atau maklum balas banduan dan pesalah bagi mengetahui keberkesanan hukuman terhadap mental dan fizikal mereka.
"Di Malaysia kurang ada kaji selidik terhadap banduan, adakah hukuman ini betul-betul efektif, ada atau tidak cara lain yang lebih berperikemanusiaan (kerana) sebatan adalah satu penambahan terhadap hukuman penjara.
"Apabila seseorang itu dipenjarakan (dan) dikurung, masa yang ada bukan lagi milik kita (kerana) sudah tidak boleh jumpa ahli keluarga atau kawan-kawan. Tambahan pula itu sudah satu hukuman sangat berat, memang akan rasa cemas dan lemas (dalam kurungan).
"Ditambah pula dengan sebatan, ada parut di pinggul. Jadi, adakah perlu sebat bagi memberi pengajaran, perlukah kekerasan dikenakan atas pesalah? Ini yang perlu dilihat semula,” ujarnya.