PUTRAJAYA - Sungai Rambai di Lukut, Port Dickson, Negeri Sembilan menjadi satu-satunya sungai di Malaysia, menghuni tangga teratas sungai tercemar di Kelas Lima berdasarkan Standard Kualiti Air Kebangsaan bagi tempoh dua tahun... Klik di sini untuk terus membaca

PUTRAJAYA - Sungai Rambai di Lukut, Port Dickson, Negeri Sembilan menjadi satu-satunya sungai di Malaysia, menghuni tangga teratas sungai tercemar di Kelas Lima berdasarkan Standard Kualiti Air Kebangsaan bagi tempoh dua tahun berturut-turut iaitu pada tahun 2019 dan 2020.

Laporan Kualiti Alam Sekeliling 2020 juga meletakkan sembilan lagi sungai tercemar berada pada Kelas Empat antaranya lima di Johor, dua di Pulau Pinang dan masing-masing satu di Melaka, Selangor/Kuala Lumpur.

Sejumlah 24 lagi sungai berdasarkan laporan itu berada di Kelas Tiga iaitu sederhana tercemar, merangkumi sungai di tujuh negeri di Pantai Barat Semenanjung iaitu Pulau Pinang, Melaka, Negeri Sembilan, Johor, Kedah, Selangor/Kuala Lumpur.

Pengarah Bahagian Air dan Marin, Jabatan Alam Sekitar (JAS), Rosli Mustafa berkata, kualiti air sungai telah dinilai berdasarkan sejumlah 8,098 sampel air sungai yang telah diambil daripada 1,353 stesen pengawasan manual yang merangkumi 672 sungai di Malaysia.

"Sungai Rambai adalah sungai tercemar di Kelas Lima berdasarkan pemantauan dua parameter utama iaitu Keperluan Oksigen Biokimia (BOD) dan Ammoniakal Nitrogen (AN). Kedua parameter tersebut adalah penyumbang utama kepada kemerosotan kualiti air sungai tersebut.

"Punca utama pencemaran sungai ini adalah daripada pelepasan kumbahan atau buangan daripada kawasan penternakan atau penempatan penduduk di sekitar kawasan berhampiran sungai,” katanya eksklusif kepada Sinar Premium baru-baru ini.

Tambahnya, kualiti air sungai di Malaysia dinilai berdasarkan Standard Kualiti Air Kebangsaan dan diterjemahkan dalam bentuk Indeks Kualiti Air (IKA) bagi memberi bacaan yang mengkategorikan sungai-sungai di dalam kelas tersendiri dan menerangkan tahap kegunaan berfaedah.

"Sejumlah 443 atau 66 peratus sungai daripada 672 sungai yang dipantau JAS menunjukkan IKA bersih, 195 atau 29 peratus adalah sederhana tercemar dan 34 atau lima peratus adalah tercemar,” ujarnya.

Peta Sungai Rambai

Jelas Rosli, JAS telah memperincikan nilai skor IKA dan sungai kepada lima iaitu Kelas Satu hingga Kelas Lima dan tujuan pengelasan ini adalah untuk mengetahui kegunaan berfaedah mengikut kelas berkenaan bagi aktiviti yang melibatkan penggunaan air sungai.

"Kegunaan sungai bagi Kelas Satu adalah bagi konservasi alam sekitar semula jadi yang mana tiada rawatan praktikal bagi sumber air dan spesies akuatik yang sangat sensitif manakala Kelas Dua adalah untuk kegunaan rekreasi melibatkan sentuhan air dan memerlukan rawatan konvensional.

"Sungai di Kelas Tiga memerlukan rawatan secara ekstensif dan perikanannya berdasarkan nilai sumber ekonomi dan ternakan manakala Kelas Empat adalah untuk pengairan.

"Berdasarkan IKA, sebanyak 24 daripada 34 sungai tercemar tergolong dalam Kelas Tiga, sembilan sungai adalah dalam Kelas Empat manakala satu sungai adalah Kelas Lima,” ujarnya.

Rosli berkata, tiada peningkatan bilangan sungai yang dikategorikan sebagai Kelas Lima berbanding tahun sebelumnya.

"Sungai di kategori Kelas Lima ini tidak boleh diminum secara langsung dan tidak boleh digunakan untuk rekreasi,” katanya.

Menurutnya, kualiti air sungai yang ditentukan dari segi IKA telah menunjukkan peningkatan dan peratus bilangan sungai yang dikategorikan sebagai tercemar menurun pada tahun 2020.

"Peratus bilangan sungai yang dikategorikan sebagai bersih meningkat kepada 66 peratus pada tahun 2020 berbanding pada tahun sebelumnya manakala peratus bilangan sungai yang tercemar telah menurun daripada sembilan peratus pada tahun 2019 ke lima peratus pada tahun 2020,” ujar beliau.

Klik di sini untuk terus membaca