PORT DICKSON - [DIKEMAS KINI] Menyingkap pendedahan berhubung Sungai Rambai di Lukut, menjadi satu-satunya sungai tercemar di Malaysia yang berada dalam Kelas Lima, kru Sinar Premium turun ke lokasi untuk melihat sendiri keadaan di sana.
Bermula tanggal 9 Februari lalu, kami memulakan siasatan dengan tujuan mengumpul gambar dan video sungai berkenaan seperti yang maklumkan oleh Pengarah Bahagian Air dan Marin, Jabatan Alam Sekitar (JAS), Rosli Mustafa.
Setibanya di lokasi yang mengambil masa sekitar lebih satu jam dari pejabat di Shah Alam, kami benar-benar terkejut apabila mendapati sungai yang mengalir di sebelah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Tanah Merah Site A itu, warnanya hitam dan berbau busuk serta dipenuhi sampah yang berulat.
Bayangkanlah walaupun kami memakai pelitup muka tiga lapisan, bau sungai tetap menusuk hidung dan boleh membuat sesiapa sahaja berasa loya apabila berdekatan dengan sungai tersebut.
Timbul persoalan bagaimana penduduk dan murid sekolah di kawasan sungai tersebut boleh ‘hidup’ dengan suasana yang tidak menyenangkan itu.
Melihat keadaan yang rupanya lebih teruk berbanding pemakluman oleh Rosli, kami mengeluarkan segala peralatan untuk memulakan rakaman di sungai tersebut bersama wakil Jabatan Alam Sekitar Negeri Sembilan.
PENDUDUK DAKWA SUNGAI RAMBAI DIKAWAL GENGSTER
Ketika lensa kamera sedang asyik merakam suasana di sepanjang sungai, kami didekati oleh penduduk di situ yang pada awalnya hairan melihat tingkah laku kami, tambahan pula kenderaan yang dinaiki dipenuhi pelekat logo Sinar Harian.
Ingin mengambil peluang yang ada, seorang daripada kami bertanyakan kepada penduduk di situ sekiranya dia sedar bahawa mereka tinggal berdekatan dengan sungai yang paling tercemar di negara ini.
Reaksi penduduk tersebut langsung tidak terkejut, tetapi enggan dirakam oleh lensa kami.
Dia seolah-olah tahu akan isu mengenai sungai tersebut, namun enggan dan takut untuk ditemu bual kerana mendedahkan dirinya akan mendapat ‘habuan’ sekiranya membuka mulut.
“Saya sudah lama duduk di sini. Sungai ini memang sangat kotor dan berbau tetapi saya tidak boleh cakap lebih-lebih atau 'akan kena,'” katanya.
Pendedahan itu sedikit sebanyak mengundang seribu persoalan buat kami yang pada awalnya turun ke lokasi bagi tujuan membuat laporan tentang sungai paling tercemar.
Kehadiran kami di lokasi secara tidak sengaja menyingkap isu yang lebih mendalam tentang sungai berkenaan apabila ada yang mendakwa Sungai Rambai tercemar hasil pembuangan dari kawasan penternakan dari ladang ternakan babi yang ada berhampiran sungai tersebut.
“Aktiviti menyembelih lebih 1,000 ekor babi sehari pernah dilakukan dan pihak tidak bertanggungjawab yang membuang air darah babi ke dalam sungai, menjadikan ia lebih kotor dan berbau,” kata seorang lagi penduduk yang menghampiri kami.
LONGKANG MENGALIR AIR BERWARNA MERAH
Pendedahan dua penduduk itu membuatkan kami ingin terus menyelongkar misteri mengapa Sungai Rambai dilabel sebagai sungai paling tercemar.
Sebelum ini, kawasan berkenaan terkenal dengan aktiviti penternakan babi secara haram pada tahun 2014, namun Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Sembilan (JPVNS) memaklumkan, pihak mereka tidak menerima sebarang laporan mengenai kegiatan penternakan babi pada ketika ini seperti yang didakwa penduduk.
Cumanya, JPVNS memaklumkan ada menerima laporan mengenai penyembelihan babi secara haram di Bukit Pelanduk.
Lokasinya sekitar 9.7 kilometer atau 10 minit perjalanan dari Tanah Merah, Site A dan ia telah diambil tindakan oleh penguat kuasa.
Berdasarkan penjelasan dua penduduk itu, tanpa ditemani JAS Negeri Sembilan, kami mengambil keputusan meninjau ke lokasi lebih dalam di sepanjang Sungai Rambai untuk melihat sendiri apa yang didakwa oleh penduduk.
Kira-kira dua kilometer perjalanan, terdapat sebuah kandang yang terbiar, namun tiada haiwan di kawasan tersebut.
Tidak jauh dari situ, kami dikejutkan dengan penemuan air berwarna merah mengalir dari saluran longkang terus ke dalam Sungai Rambai.
Kami bersiap sedia untuk berhenti tetapi tidak disangka ada sebuah lori besar yang bergerak laju dan mengekori rapat di belakang seolah-olah cuba mengancam kehadiran kami di situ.Biarpun begitu, juruvideo terus merakam lokasi air berwarna merah itu melalui dalam kereta yang bergerak.
Kami kemudiannya bertindak beredar dan pulang ke pejabat kerana khuatir dengan keselamatan diri.
Kerajaan Negeri Sembilan sebelum ini pernah menubuhkan jawatankuasa khas bagi menyiasat kewujudan sebuah kawasan ternakan babi yang beroperasi secara haram di Kampung Baru Site A di Port Dickson.
Menteri Besarnya, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kegiatan tersebut dipercayai bermula secara kecil-kecilan sejak tahun 2004, namun tiada tindakan yang diambil sehingga ke tahun ini.
Persoalannya, mengapakah sungai itu kekal tercemar bertahun lamanya dan tiada penambahbaikan dilakukan?
Adakah benar terdapat individu yang ‘menjaga’ kawasan tersebut dan terus melakukan aktiviti pembuangan haram ke dalam sungai?
AMBIL SAMPEL AIR SUNGAI
Tidak berpuas hati dengan hasil yang kami peroleh, malah timbul pula tanda tanya mengapa Sungai Rambai tercemar dengan begitu teruk serta penemuan air berwarna merah mengalir dari saluran longkang terus ke dalam sungai, kami mengambil keputusan untuk turun semula ke lokasi pada 21 Februari lalu.
Dengan menaiki kenderaan sendiri dan ditemani wakil Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka), tujuan kami ke situ adalah untuk mengambil sampel dari lokasi air berwarna merah untuk di hantar ke makmal.
Kali ini, kehadiran kami tidak disedari oleh sesiapa memandangkan menggunakan peralatan yang minimum dan hanya merakam suasana di kawasan sekitar dengan menggunakan telefon bimbit.
Dua bekas air telah diperoleh, di mana satu bekas berisi sampel air berwarna merah dan satu lagi sampel air berhampiran sekolah.
Dua sampel itu kemudian dihantar ke makmal ALS (Australian Laboratory Services) Technichem Malaysia di Glenmarie, Shah Alam.
Ujian sampel itu dilakukan bagi mendapatkan jawapan sama ada air itu mengandungi asid deoksiribonukleik (DNA) babi atau tidak, dan tahap pencemarannya.
SUNGAI RAMBAI LANGSUNG TIADA PERUBAHAN
Kami melakukan siri pemantauan selama beberapa bulan di Sungai Rambai bagi memastikan sama ada pencemarannya secara berkala atau berterusan.
Kru Sinar Premium turun lagi ke Sungai Rambai pada bulan Mei dan Julai lalu untuk melihat keadaan air sungai itu.
Yang pasti, sepanjang tempoh pemantauan dari Februari sehingga Julai lepas, keadaan Sungai Rambai masih lagi sama. Hitam, busuk dan masih terdapat bangkai binatang.
Persoalannya, dalam tempoh terdekat ini, dengan pendedahan berkenaan, apa yang boleh dilakukan oleh setiap agensi terlibat bagi memastikan Sungai Rambai tidak terus dinobatkan sebagai sungai paling tercemar di Malaysia untuk tahun-tahun mendatang?