SHAH ALAM - Laporan Kualiti Alam Sekeliling 2020 yang dikeluarkan Kementerian Alam Sekitar dan Air atau Jabatan Alam Sekitar (JAS) mendedahkan Johor adalah negeri yang merekodkan bilangan tertinggi sungai tercemar merangkumi Kelas Tiga dan Kelas Empat.
Lima sungai iaitu Sungai Kempas, Sungai Buluh, Sungai Tukang Batu, Sungai Ayer Merah dan Sungai Pandan berada pada Kelas Empat iaitu tercemar serta hanya berperanan sebagai sistem pengairan sahaja.
Indeks Kualiti Air (IKA) bagi lima sungai itu berada pada sekitar 31.0 hingga 51.9.
Sementara itu, 14 lagi sungai iaitu Sungai Tampoi, Sungai Sengkuang, Sungai Sebulung, Sungai Bala, Sungai Plentong, Sungai Perembi, Sungai Danga, Sungai Temehel, Sungai Tebrau, Sungai Semberong, Sungai Sanglang, Sungai Simpang Kanan, Sungai Panchor dan Sungai Sarang Buaya yang mengalir di tiga negeri iaitu Johor, Melaka serta Negeri Sembilan berada pada Kelas Tiga.
Sungai Rambai yang terletak antara sempadan Port Dickson, Negeri Sembilan dan Sepang, Selangor merupakan satu-satunya sungai menghuni Kelas Lima sejak tahun 2019 dan 2020.
Pulau Pinang pula berada pada kedudukan kedua di mana tujuh sungainya tercemar merangkumi Kelas Tiga dan Kelas Empat.
Sungai yang berada pada Kelas Empat di Pulau Mutiara itu adalah Sungai Chempedak dan Sungai Tengah manakala di Kelas Tiga pula adalah Sungai Kereh, Sungai Jawi, Sungai Rambai, Sungai Air Melintas serta Sungai Permatang Rawa.
Selangor pula hanya merekodkan dua sungai tercemar iaitu Sungai Kerayong yang mengalir ke Sungai Klang berhampiran stesen Komuter Pantai Dalam pada Kelas Tiga dan Sungai Air Busuk yang mengalir dari Cheras Baru ke Pantai Baru berada pada Kelas Empat.
Punca beban pencemaran air berdasarkan Laporan Kualiti Alam Sekeliling 2020 menyebut ia terbahagi kepada dua kategori utama iaitu punca tetap dan punca tidak tetap.
Punca tetap bagi beban pencemaran air adalah punca-punca yang mempunyai takat pelepasan yang boleh dikenalpasti dan tidak berubah dalam masa yang singkat seperti sektor industri, ternakan, sistem rawatan kumbahan dan sebagainya.
Selain itu, punca tidak tetap seperti aktiviti pertanian, kerja tanah, perlombongan dan kumbahan bukan najis (air cucian dapur dan bilik air selain kumbahan) tidak mempunyai takat pelepasan yang tetap dan sering berubah-ubah yang menyukarkan anggaran pelepasan beban pencemaran dibuat.
Untuk tahun 2020, sebanyak lima jenis punca pencemaran air ditumpukan dalam pelaporan beban pencemaran air iaitu industri pembuatan, industri berasaskan pertanian, loji rawatan kumbahan, ternakan babi dan pasar basah.
Pengiraan beban pencemaran ditumpukan kepada tiga parameter utama yang memberi kesan ketara kepada kualiti air sungai iaitu Keperluan Oksigen Biokimia (BOD), Pepejal Terampai (SS) dan Ammoniakal Nitrogen (AN).
Bagaimanapun kualiti air sungai yang ditentukan dari segi IKA telah menunjukkan peningkatan pada tahun 2020.
Peratusan bilangan sungai yang dikategorikan sebagai bersih telah meningkat kepada 66 peratus pada tahun 2020 berbanding 61 peratus pada tahun sebelumnya.
Peratusan bilangan sungai yang dikategorikan sebagai tercemar telah menurun daripada sembilan peratus pada tahun 2019 kepada lima peratus pada tahun 2020.
Klik di sini untuk terus membaca