BESUT - Penoreh getah berdepan situasi sukar kerana terhimpit dengan kadar harga getah yang rendah di samping turut berdepan dengan keadaan cuaca tidak menentu.
Wan Mustafa Wan Hasan, 57, dari Kampung Gerai Muda, Jertih di sini berkata, keadaan itu menyebabkan dia kehilangan punca utama pendapatan.
"Cuaca hujan terutama ketika musim tengkujuh memberi kesan kepada penoreh kerana kita semua tidak dapat ke kebun untuk menoreh. Jika batang getah basah, ia akan menyebabkan susu getah tidak mengalir ke dalam cawan getah. Jika menoreh juga, batang pokok akan rosak.
"Saya sendiri sudah hampir setahun tidak menoreh secara konsisten kerana keadaan cuaca tidak menentu. Kadang kala hujan sebelah petang atau sebelah malam.
"Macam saya pula, saya menoreh getah milik arwah bapa saudara yang kini diuruskan oleh anak-anaknya. Tak banyak hanya dalam 300 pokok yang saya toreh.
"Dalam sebulan dapatlah dua kali jual dan dapat hasil antara RM400 dan dibahagi dua dengan pemilik kebun getah,” jelasnya.
Dalam pada itu, Wan Mustafa menyambut baik saranan kerajaan yang bersetuju untuk mengkaji kenaikan harga lantai getah sekerap berbanding harga semasa RM2.50 sekilogram di samping melanjutkan tempoh bantuan musim tengkujuh dari tiga kepada enam bulan.
"Saya bersetuju sekiranya kerajaan berhasrat untuk kaji semula harga lantai getah sekerap dan bantuan musim tengkujuh kerana sudah lama kita berdepan dengan harga lantai getah yang rendah.
"Begitu juga dengan bantuan musim tengkujuh. Saya yakin ia merupakan perkembangan yang ditunggu-tunggu rakyat selama ini,” ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca