SHAH ALAM - Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) menggesa pihak berkuasa segera menghentikan aktiviti penternakan babi secara haram yang didakwa menjadi punca Sungai Rambai di Lukut, Port Dickson, Negeri Sembilan menjadi sungai paling... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) menggesa pihak berkuasa segera menghentikan aktiviti penternakan babi secara haram yang didakwa menjadi punca Sungai Rambai di Lukut, Port Dickson, Negeri Sembilan menjadi sungai paling tercemar di negara ini.

Presiden MNS, Profesor Dr Ahmad Ismail berkata, punca pencemaran itu berlaku perlu dihentikan agar ia tidak mendatangkan kesan buruk kepada masyarakat sekitar selain memulihkan semula keadaan sungai berkenaan.

Justeru, katanya, jika hasil siasatan lanjut mengesahkan pencemaran itu berpunca daripada penternakan babi secara haram di kawasan itu, pihak berkuasa mesti mengambil tindakan.

"Kes pencemaran yang berlaku di Sungai Sepang Besar, Bagan Lalang, Selangor dan Sungai Bukit Pelanduk, Negeri Sembilan tidak lama dulu sepatutnya jadi pengajaran.

"Sungai-sungai itu juga tercemar teruk dengan sisa kumbahan dari ladang khinzir,” katanya kepada Sinar Harian.

Laporan muka depan Sinar Harian pada Isnin mendedahkan Sungai Rambai menjadi sungai paling tercemar di Malaysia apabila disenaraikan dalam Kelas Lima Standard Kualiti Air Kebangsaan bagi tempoh dua tahun berturut-turut mulai 2019.

Siasatan Sinar Premium ke kawasan berkenaan mendapati air sungai mengalir berwarna hitam, berbau busuk serta dipenuhi sampah berulat.

Ahmad menjelaskan, kes di Sungai Rambai itu mungkin terlepas daripada perbincangan umum walaupun daripada laporan menunjukkan pencemaran telah lama berlaku.

Namun, beliau mempersoalkan mengapa tiada pemantauan dilakukan hingga keadaan itu berlarutan sampai sekarang.

"Pencemaran akibat ternakan babi bukanlah cerita baharu. Jadi diharap setelah pendedahan ini dibuat, tindakan segera wajar dilakukan.

"Jabatan Alam Sekitar merupakan agensi yang bertanggungjawab memantau kualiti air sungai dan mengenal pasti sumber pencemaran.

"Agensi lain seperti Jabatan Pengairan dan Saliran, pihak berkuasa tempatan dan Jabatan Perikanan juga perlu memainkan peranan dalam menyelesaikan masalah ini,” ujarnya.Ahmad menegaskan, bagi menangani masalah pencemaran sungai di negara ini, semua pihak terutama masyarakat tempatan harus segera membuat laporan kepada pihak berkuasa seandainya berlaku kes pencemaran di kawasan penempatan mereka.

Menurutnya, walaupun dilaporkan ada gengster yang mengawal sungai tercemar itu namun masyarakat tidak perlu takut kerana maklumat pelapor adalah dirahsiakan.

"Suara penduduk tempatan yang terkesan sangat penting dalam melaporkan kes-kes pencemaran sungai terutama nelayan tempatan yang bergantung kepada sumber perikanan,” kata beliau.

Klik di sini untuk terus membaca