JOHOR BAHRU - Usaha pemulihan sungai tercemar di negeri ini perlu diberi perhatian sewajarnya selepas Laporan Kualiti Alam Sekeliling 2020 mendedahkan Johor mempunyai bilangan sungai paling banyak tercemar dalam Kelas Tiga dan Kelas Empat.... Klik di sini untuk terus membaca

JOHOR BAHRU - Usaha pemulihan sungai tercemar di negeri ini perlu diberi perhatian sewajarnya selepas Laporan Kualiti Alam Sekeliling 2020 mendedahkan Johor mempunyai bilangan sungai paling banyak tercemar dalam Kelas Tiga dan Kelas Empat.

Pengarah Pelestarian Kampus Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Madya Ir Dr Mohd Fadhil Md Din berkata, pemulihan sungai cukup penting bagi sumber air tidak tercemar.

"Di Johor, antara sungai yang terjejas ialah Sungai Tebrau. Kerajaan negeri dilihat ada menubuhkan unit-unit tertentu bagi mengatasi pencemaran sungai ini.

"Begitu juga dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang membuat penguatkuasaan. Sungai yang tercemar ini perlu dipulihkan. Tiada kaedah atau teknologi lebih baik selain membuat pencegahan dan kawalan pencemaran air.

"Kos dan kaedah pemulihan sumber air lebih mudah ditangani berbanding penumpuan kepada teknik dan rawatan pencemaran,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Menurut Mohd Fadhil, pencemaran sungai disebabkan pelbagai faktor seperti sistem sambungan buangan sisa secara haram ke longkang dan sistem air.

"Selain itu, isu kawalan dan pemantauan buangan sisa air (air basuhan) secara aktif bagi premis komersial, air buangan dan lelemak serta basuhan daripada pasar basah, pasar malam serta premis seperti pasar dan kedai-kedai makan biasanya perangkap gris dan minyak tidak berfungsi, tidak diselenggara dengan sempurna atau tidak disediakan,” katanya.

Jelas beliau, masyarakat juga perlu memainkan peranan tidak membuang sampah ke dalam sungai atau sistem perparitan kerana perbuatan tersebut bukan sahaja menyebabkan pencemaran malah boleh mengakibatkan banjir kilat.

Pada 2 Julai lalu, Kerajaan Johor menubuhkan Jawatankuasa Penguatkuasaan dan Pemantauan Pencemaran Sungai-Sungai bagi menangani isu pencemaran sungai di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya negeri, K Raven Kumar berkata, jawatankuasa berkenaan ditubuhkan susulan tinjauannya ke Sungai Tebrau dan Sungai Skudai di sini, dua bulan lepas yang tercemar teruk dengan sampah sarap.

Beliau berkata, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melakukan kutipan sampah di kedua-dua sungai itu melebihi 500 tan metrik setahun dan mencapai kos penyelenggaraan tahunan sebanyak RM650,000.

Jelasnya, menerusi jawatankuasa berkenaan, penyelarasan dapat dilakukan secara bersama dengan semua jabatan dan agensi yang terlibat.

Pada Isnin, Sinar Harian mendedahkan Johor negeri catat rekod tertinggi bilangan sungai tercemar dalam Kelas Tiga dan Kelas Empat berdasarkan Laporan Kualiti Alam Sekeliling 2020 daripada Kementerian Alam Sekitar dan Air atau Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Sementara Sungai Rambai di Lukut, Port Dickson, Negeri Sembilan, satu-satunya sungai tercemar pada Kelas Lima Standard Kebangsaan Kualiti Air Malaysia tahun 2019 dan 2020.

Klik di sini untuk terus membaca