SHAH ALAM - Pendakwaan atau pembongkaran kes rasuah membabitkan ahli politik baru-baru ini dijangka mempengaruhi persepsi dan sokongan pengundi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti. Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Teknologi... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pendakwaan atau pembongkaran kes rasuah membabitkan ahli politik baru-baru ini dijangka mempengaruhi persepsi dan sokongan pengundi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mujibu Abd Muis berkata, isu rasuah memberi impak terhadap kebolehpercayaan rakyat kepada ahli politik dalam pemuliharaan dana negara.

Menurut beliau, meskipun isu tersebut kurang diberi perhatian ketika pandemik Covid-19 lalu disebabkan kritikan terhadap perkara lain seperti kelemahan pentadbiran yang lebih tertumpu kepada kebajikan rakyat, namun ia tidak bermaksud rakyat terus menutup mata mengenai salah laku tersebut.

"Ia juga merupakan reformasi baharu masyarakat yang mana mereka tidak lagi sewenang-wenangnya memilih seseorang individu secara sembarangan ke dalam pimpinan negara terutama yang mempunyai kesalahan seperti penyelewengan dana atau rasuah,” katanya pada Sabtu.

Mujibu berkata, masyarakat hari ini melihat nilai integriti dalam kalangan pemimpin sebagai perkara penting.

Bagaimanapun, beliau tidak menafikan sentimen agama dan perkauman yang kadang kala cuba diapi-apikan sesetengah pihak dapat mengalihkan perhatian rakyat terhadap hal berkenaan.

"Namun harus diingat bahawa perkara ini jika dimainkan, maka lama kelamaan rakyat juga akan menyedari kelompongannya.

"Seperti yang kita lihat, isu-isu seperti ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Pembasmian Diskriminasi Kaum (ICERD), yang pernah diketengahkan oleh sesetengah pihak dalam membakar sentimen perkauman masyarakat suatu ketika kini telah jarang diperkatakan,” ujarnya.

Klik di sini untuk terus membaca