SHAH ALAM - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) disaran untuk melihat dan mengkaji semula kualiti sistem pendidikan di sekolah kebangsaan (SK). Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh berkata, ia kerana peratusan kanak-kanak dalam kalangan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) disaran untuk melihat dan mengkaji semula kualiti sistem pendidikan di sekolah kebangsaan (SK).

Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh berkata, ia kerana peratusan kanak-kanak dalam kalangan kaum Melayu dan India yang dihantar ke Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dilihat semakin meningkat ketika ini.

Menurutnya, situasi tersebut menunjukkan bahawa keyakinan ibu bapa terhadap sekolah vernakular lebih tinggi berbanding sekolah kebangsaan.

"Mungkin mereka melihat disiplin (di sekolah tersebut) yang tinggi atau kaedah pembelajaran guru yang berbeza.

"Ini adalah tugas Menteri Kanan Pendidikan (Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin) untuk lihat dan kaji mengapa SJKC popular dalam kalangan bukan kaum tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program Bersama Johan Jaaffar yang dikendalikan Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar yang berlangsung di Kumpulan Karangkraf, Shah Alam pada Rabu.

Program Bersama Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar menampilkan Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh. Foto Sinar Harian/Asril Aswandi Shukor

Hannah yang juga bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menegaskan, sekiranya kerajaan mempunyai kefahaman dan tekad untuk membaiki kelemahan yang wujud di sekolah kebangsaan, beliau percaya lebih ramai ibu bapa akan memilih sekolah tersebut berbanding sekolah vernakular.

Jelasnya, situasi berbeza pada tahun 1990-an yang mana sekolah kebangsaan menjadi pilihan ramai, tetapi sekarang kaum Melayu pun mula mengeluarkan anak mereka daripada sekolah kebangsaan.

"Sekolah vernakular menggunakan medium bahasa yang berbeza, tetapi mereka juga belajar bahasa Melayu.

"Jadi daripada kita selalu kata nak tutup sekolah vernakular, baik kita pergi tengok apa yang sedang berlaku? Kenapa (ramai) orang pilih (sekolah tersebut)?

"Jika kita ada ketakutan yang tidak berasas, kita tidak akan perbaiki diri. Jadi ini (menunjukkan) kualiti telah jatuh. Menteri pendidikan harus baiki sekolah kebangsaan,” ujarnya.

Klik di sini untuk terus membaca