SHAH ALAM - Segelintir individu cenderung menggunakan pendekatan jalan pintas atau jalan mudah untuk berjaya sehingga menyebabkan ramai yang terjebak dengan amalan rasuah.
Pengusaha kek, Siti Saleha Idris atau lebih dikenali sebagai Anne Idris bagaimanapun berkata, sekiranya keberkatan diletakkan sebagai tunjang utama dalam setiap pekerjaan, mereka tidak akan sesekali berani untuk mencuba ke arah itu.
"Rasuah adalah satu perbuatan dan perkataan yang sangat jijik. Kalau nak jalan pintas, mungkin cenderung ke arah rasuah.
"Kita sebagai seorang usahawan dan orang Islam, kena ingat jangan memberi atau mengambil rasuah.
"Sampai bila nak simpan? Adakah kita boleh tidur lena? Adakah (kejayaan) yang kita dapat ini satu keseronokan?” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panelis program Mak Untuk Malaysia (MUM) bertajuk ‘Sentuhan Pembuat Kek Termahal’ yang disiarkan di semua platform Sinar Harian pada Isnin.
Program yang bersiaran selama hampir sejam itu dikendalikan oleh Hazlin Hussain sebagai pengacara.
Tegas anak jati Taiping, Perak itu, tidak mustahil perbuatan tersebut akan menjadi darah daging sekiranya mereka berterusan mengambil rasuah.
"Saya menentang sekeras-kerasnya rasuah dalam apa sahaja bentuk walaupun ada cubaan untuk berunding atau ketika saya (dalam keadaan) susah sekalipun.
"Saya pernah melalui kesukaran yang sangat teruk. Saya pernah jalan kaki sejauh 6 kilometer (km) bersama ibu dan pernah juga ketuk rumah orang minta beras.
"Andai kata saya menggunakan jalan pintas, saya tidak akan berada pada tahap ini,” ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca