CANBERRA - Banjir merentasi tenggara Australia membawa kepada usaha pemindahan berskala besar selain meningkat kebimbangan terhadap bekalan makanan ketika negara itu sedang berdepan impak dahsyat fenomena La Nina untuk tempoh tiga tahun... Klik di sini untuk terus membaca

CANBERRA - Banjir merentasi tenggara Australia membawa kepada usaha pemindahan berskala besar selain meningkat kebimbangan terhadap bekalan makanan ketika negara itu sedang berdepan impak dahsyat fenomena La Nina untuk tempoh tiga tahun berturut-turut.

Ketika ini, pihak berkuasa telah memberi amaran kepada 34,000 kediaman di negeri Victoria yang berisiko tenggelam kerana hujan lebat berterusan pada Isnin.

Banjir turut melanda New South Wales (NSW) dan Tasmania selepas negeri tenggara tersebut berdepan purata taburan hujan yang luar biasa sehingga mengakibatkan paras sungai melimpah mendadak.

Perdana Menteri, Anthony Albanese yang mengadakan lawatan ke kawasan terjejas di NSW menyifatkan Australia kini sedang berdepan 'detik berbahaya' kerana banjir tersebut telah menyebabkan kemusnahan besar harta benda.

"Kita perlu sentiasa berwaspada untuk tempoh beberapa minggu akan datang. Banjir ini mungkin akan menjadi lebih buruk jika hujan berterusan," ujarnya.

Di Victoria, cuaca buruk itu telah menyebabkan kerugian mencecah ratusan juta dolar melibatkan kediaman penduduk, kawasan pertanian dan premis perniagaan selain beberapa bandar di negeri itu kini terkandas setelah sebahagian besar kawasan di ibu kota Melbourne tenggelam.

Komuniti setempat bersama pihak berkuasa kini berhempas-pulas mendirikan benteng menggunakan beg pasir berikutan paras air sungai pedalaman mencecah rekod tertinggi.

Pihak berkuasa sedang berhempas-pulas mendirikan benteng menggunakan beg pasir di Echuca, Victoria.

Bot dan kayak telah menjadi pengangkutan utama kebanyakan penduduk sejak beberapa hari lalu untuk meredah laluan utama di beberapa bandar yang ditenggelami banjir.

Bagi mengurangkan beban penduduk, Ketua Menteri Victoria, Daniel Andrews mengumumkan pakej bantuan berjumlah A$351 juta (RM1.04 bilion) untuk menyokong bantuan kecemasan dan kerja-kerja pembersihan termasuk A$165 juta (RM491 juta) bagi membaiki jalan yang rosak dan membina semula jambatan."Usaha pemulihan bagi membantu komuniti terjejas perlu dipercepatkan," katanya.

Tetapi ancaman cuaca buruk itu masih belum reda walaupun bantuan segera sudah disalurkan.

Biro Meteorologi meramalkan hujan lebat dan ribut petir dijangka melanda di sebahagian besar kawasan timur dan tenggara Canberra pada minggu ini.

"Ancaman itu masih tinggi di NSW dan Victoria. Sukar untuk menjangkakan bila ia akan berakhir," lapor ABC News memetik kenyataan ahli metereologi kanan, Dean Narramore.

Banjir tersebut turut mengakibatkan kawasan pertanian musnah sekali gus menyebabkan kerugian besar membabitkan haiwan ternakan dan hasil tanaman seperti gandum, barli, buah-buahan serta sayur-sayuran.

Susulan itu, pemerintah memberi amaran harga barangan runcit dan makanan ruji seperti susu yang kini sudah tinggi akibat inflasi mungkin akan meningkat lagi.

Sementara itu, pakar meramalkan fenomena La Nina keempat mungkin berlaku pada tahun depan.

"Perkara itu tidak mustahil memandangkan keadaan cuaca yang tidak menentu sejak akhir-akhir ini," menurut penyelidik iklim, Agus Santoso dari Universiti New South Wales. - Agensi


INFO


- Australia jarang berdepan fenomena La Nina untuk tempoh tiga tahun berturut-turut.

- Keadaan sama dikatakan pernah berlaku pada 1954-57, 1973-76 dan 1998-2001. Di Canberra, fenomena La Nina meningkatkan purata taburan hujan pada musim bunga dan musim panas.

- Sydney telah merekodkan tahun paling lembap mengatasi rekod 2.19 meter pada 1950.

- Pakar percaya fenomena La Nina boleh mencapai kemuncak pada November dan berakhir pada awal 2023. Tetapi, hujan lebat dijangka lebih buruk di timur Australia yang pernah ditenggelami banjir pada tahun lalu dan mempunyai kapasiti yang terhad untuk menyerap lebih banyak air.

Klik di sini untuk terus membaca