[INFOGRAFIK] Sebagaimana umum mengetahui, Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan akan bertanding di kerusi Parlimen Tambun pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.
Perkara tersebut telah dimaklumkan sendiri olehnya ketika menyampaikan ucaptama dalam Konvensyen Harapan yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa (ICC) Ipoh pada malam Khamis.
Pengumuman tersebut secara tidak langsung akan menyaksikan Presiden PKR itu mencabar Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang juga penyandang kerusi berkenaan iaitu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumum.
Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu hampir pasti mempertahankan kerusi berkenaan pada PRU15.
Sementara nama lain yang akan bertanding di kerusi berkenaan hanya diketahui sewaktu penamaan calon pada 5 November ini.
Kerusi Parlimen Tambun merupakan kubu kuat Barisan Nasional (BN).
Ia pernah disandang oleh Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah selama lima penggal berturut-turut sejak PRU9 (1995) lagi.
Dalam tempoh berkenaan, Pas pernah menentang beliau dengan meletakkan calon yang sama iaitu Khairuddin Abd Malik sebanyak dua kali pada PRU10 dan PRU11 namun gagal.
Begitu juga dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR), mereka pernah cuba merobek kubu tersebut sebanyak dua kali pada PRU12 dan PRU13 namun berakhir dengan kegagalan.
Bagaimanapun, kekebalan kubu tersebut berjaya dirobek pada 2018 apabila Ahmad Faizal yang julung kalinya bertanding di kerusi berkenaan menewaskan bekas Menteri Kewangan II dari 2009 hingga 2016 itu.
Ahmad Faizal yang ketika itu bertanding di bawah tiket PH menewaskan Ahmad Husni dan Muhamad Zulkifli Mohamad Zakaria dari Pas dengan majoriti undi sebanyak 5,320.
Situasi tersebut jelas menunjukkan Tambun bukanlah kerusi yang mudah untuk dimenangi oleh pembangkang.
Ramai yang ‘terkorban’ sebelum bekas Menteri Besar Perak itu menawannya.
Malah, Anwar sendiri mengakui memilih utuk bertanding di kerusi berkenaan bukan suatu yang mudah.
Namun, beliau yakin mampu mencipta kemenangan pada PRU15 ini.
"Saya akui sukar. saya akui bukan medan biasa, tetapi saya datang dengan keyakinan untuk merampas Tambun dan Perak,” katanya.
Namun, mampukah Anwar menawan kerusi berkenaan pada PRU15 ini?
Semuanya hanya akan terjawab selepas rakyat kawasan berkenaan membuang undi pada 19 November ini.
Klik di sini untuk terus membaca