SHAH ALAM - Penganalisis politik, Mujibu Abd Muis mengemukakan lima strategi yang boleh digariskan parti politik untuk menawan hati pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.
Beliau berkata, antaranya termasuklah menempatkan calon yang mempunyai nama atau pengaruh besar untuk bertanding di kawasan Parlimen tertentu.
"Sebagai langkah awal, kepimpinan parti perlu memilih calon yang diyakini mampu memberikan perkhidmatan terbaik di kawasan terpilih.
"Sekiranya calon nama besar diletakkan, separuh daripada semangat pihak lawan sudah pun hilang,” katanya kepada Sinar Ahad.
Ujar beliau, parti yang bertanding juga tidak digalakkan untuk meletakkan calon yang sedang terpalit dengan rekod buruk atau kontroversi kerana kebiasaannya ia akan menjadi fokus utama dalam pilihan raya.
"Contohnya pada tahun 2018, isu rasuah, kleptokrasi dan penyelewengan menjadi isu terbesar.
"Banyak pihak menggunakan pilihan raya sebagai satu referendum untuk menghukum kerajaan pada ketika itu,” katanya.
Tambah Mujibu, manifesto yang bakal dirangka juga perlu memfokuskan pada ekonomi, pekerjaan dan kesejahteraan rakyat.
Ujarnya, kesejahteraan rakyat turut melibatkan pembangunan, pendidikan, perbandaran dan perkhidmatan bagi kemudahan rakyat.
"Manifesto bukan sahaja tentang penawaran sesuatu parti, tetapi juga berkait rapat dengan kontrak atau komitmen.
"Walaupun ada segelintir yang mempersoalkannya, sekurang-kurangnya ia masih lagi antara faktor yang boleh mempengaruhi dan menarik pengundi untuk memilih calon,” katanya.
Menurut beliau, elemen sosialisasi juga antara strategi yang boleh dititikberatkan sebagai usaha memancing hati pengundi.
Jelasnya, elemen tersebut melibatkan pendekatan yang mana calon perlu turun padang, bertemu secara empat mata dengan rakyat dan menyelami masalah mereka.
"Contohnya, UMNO dilihat sering menggunakan pendekatan yang lebih peribadi dengan orang kampung. Ini terkait elemen persaudaraan yang lebih dekat dengan rakyat.
"Parti yang sudah kukuh dan besar seperti UMNO dan Pas mempunyai elemen tersebut yang mana ini juga adalah sebahagian daripada pengaruh akar umbi,” ujar beliau.
Katanya, elemen-elemen baharu yang dekat dengan hati pengundi muda juga boleh menjadi salah satu strategi untuk menarik minat golongan itu.
"Misalnya fokus pada pengembangan model ekonomi gig, kelestarian alam sekitar, kadar internet yang murah dan pantas, bantuan teknikal serta pendedahan latihan industri,” ujar beliau.
Klik di sini untuk terus membaca