SHAH ALAM - Kerjasama politik membabitkan Pakatan Harapan (PH) dan Gerakan Tanah Air (GTA) sekiranya dilaksanakan dijangka bakal menjejaskan momentum gabungan utama pembangkang itu dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Penganalisis politik dari Universiti Malaya (UM), Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, adalah tidak mudah bagi akar umbi PH melupakan kenyataan negatif dilemparkan peneraju GTA, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini khususnya terhadap Pengerusi gabungan itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Katanya, dengan mengambil kira pengaruh GTA yang belum begitu meluas dalam politik negara, kerjasama itu juga dilihat lebih merugikan PH menjelang PRU akan datang.
"Manakala dengan penyertaan GTA ini juga, ia akan menyebabkan ramai pengundi PH tidak akan berpuas hati dan seterusnya akan mengurangkan momentum PH menghadapi PRU15,” katanya ketika dihubungi Sinar Ahad.
Dalam pada itu, Awang berkata, meskipun Anwar terbuka untuk mengadakan perbincangan dengan Dr Mahathir, beliau berpandangan kemungkinan berlakunya kerjasama tersebut dilihat amat tipis kerana ia perlu terlebih dahulu melalui Majlis Presiden PH sebelum diputuskan.
"Saya jangka perkara ini akan mendapat tentangan daripada Majlis Presiden PH,” ujarnya.
Sementara itu, Pensyarah Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain berkata, walaupun GTA dilihat boleh membawa undi Melayu kepada PH, namun rata-rata pengundi PH tidak lagi mempunyai kepercayaan terhadap Dr Mahathir.
Malah katanya, gabungan utama pembangkang itu juga harus lebih berhati-hati dengan kerjasama tersebut kerana beliau merasakan GTA hanya mahu menggunakan pengaruh dimiliki PH bagi memenangi PRU15.
"Anwar dan PH perlu memahami sentimen penyokong tegar mereka,” kata beliau.