KUALA LUMPUR - Susulan keputusan Mahkamah Tinggi di sini yang memerintahkan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman membela diri atas empat pertuduhan subahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram, apakah peluang yang ada untuk... Klik di sini untuk terus membaca

KUALA LUMPUR - Susulan keputusan Mahkamah Tinggi di sini yang memerintahkan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman membela diri atas empat pertuduhan subahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram, apakah peluang yang ada untuk penyandang kerusi Parlimen Muar dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kelak.

Pada sidang akhbar di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Syed Saddiq yang juga Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) itu menjelaskan bahawa perkara itu bergantung kepada pucuk pimpinan parti.

Pastinya barisan kepimpinan Muda akan mengadakan perbincangan secepat mungkin memandangkan PRU15 akan diadakan kurang daripada 22 hari sahaja lagi.

Apatah lagi hari penamaan calon bakal diadakan pada 5 November depan.

Ketika ditanya sama ada keputusan mahkamah akan memberi kesan kepada kempennya dalam PRU kelak, Syed Saddiq yang hadir di mahkamah dengan memakai sut biru gelap berkata, ia bergantung kepada rakyat Muar untuk menilai.

Beliau yang kelihatan tenang selepas keputusan diketahui menyatakan bahawa, biarpun ketetapan mahkamah tidak memihak kepadanya, ia tidak melemahkan prinsip yang digengam, untuk terus berjuang membela rakyat.

Sebaliknya, mahkamah berpendapat pendakwaan berjaya menimbulkan prima facie atas empat pertuduhan yang mula dihadapkan ke mahkamah pada 22 Julai 2021 lalu.

Untuk rekod, prima facie merupakan perkataan Latin yang digunakan dalam terma undang-undang, merujuk kepada bukti yang cukup bagi menunjukkan kebenaran suatu saranan atau fakta kes, sebelum keputusan akhir dijatuhkan.

Perkara sama berlaku kepada penyandang kerusi Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang mana Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah itu juga masih berpeluang untuk menjadi calon meskipun diperintahkan untuk membela diri atas tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta berhubung pelaburan unit amanah Public Mutual Berhad.

Sedangkan Datuk Seri Najib Tun Razak yang kini menjalani hukuman 12 tahun di Penjara Kajang dan didenda RM210 juta atas tiga tuduhan jenayah membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta dikatakan mempunyai peluang, selepas UMNO Bahagian Pekan kekal menamakan bekas Perdana Menteri itu, antara lima calon bagi kerusi tersebut.

Inikan pula Syed Saddiq yang juga bekas Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) belum pun dijatuhi hukuman.

Meski terikat dengan jadual perbicaraan yang dijadualkan bermula 22 Februari tahun depan, beliau mungkin boleh menjadi calon dan bertanding untuk Muda.

Dikuatkan lagi dengan kenyataan Syed Saddiq bahawa, beliau memasuki politik kerana mahu membersihkan arena itu.

Sekarang ini, segalanya terpulang kepada pucuk pimpinan parti itu sama ada mahu meletakkan beliau atau tidak, di mana-mana kerusi.

Klik di sini untuk terus membaca