SHAH ALAM - Dokumen pengisytiharan harta yang dikemukakan calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) oleh parti tertentu masih boleh dipertikai kerana belum ada kerangka statutori atau undang-undang jelas mengenainya buat masa ini.
Peguam, Hizri Hasshan berkata, kebanyakan calon yang membuat deklarasi harta hanya memberikan jumlah anggaran nilai dengan membuat Surat Akuan Berkanun di hadapan Pesuruhjaya Sumpah mengikut Akta Akuan Berkanun 1960.
Jelas beliau, dokumen berkenaan bersifat umum dan akuan berkanun itu tidak semestinya mencerminkan kebenaran kandungan di dalam surat tersebut kerana ia masih boleh dicabar serta bukan satu bukti konklusif.
"Akuan berkanun adalah deklarasi secara unilateral oleh individu tanpa keperluan menentusahkan kandungannya oleh pihak berkuasa.
"Setakat hari ini, belum ada kerangka regulatori yang jelas mewajibkan deklarasi harta dan mekanisme terperinci untuk membuat pengiraan dan pengisytiharan harta.
Beliau mengulas kesahihan deklarasi isytihar harta oleh calon PRU15.
Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebelum ini mewajibkan calon PRU15 daripada parti itu membuat pengisytiharan harta.
Hizri berkata, bagi menentukan deklarasi harta oleh calon pilihan raya supaya tidak diragui dan sahih, suatu kerangka statutori yang jelas perlu dibuat bagi memastikan kesahihan pengisytiharan tersebut.
Katanya lagi, ia perlu mengambil kira sama ada deklarasi tersebut boleh mendedahkan maklumat kewangan dan data peribadi calon kepada pihak tidak bertanggungjawab.
"Dari segi perundangan, ia bukanlah satu syarat kelayakan untuk menjadi calon pilihan raya kerana tidak pun termaktub dalam Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan.
"Pengisytiharan harta juga tidak diperlukan untuk tujuan penamaan calon kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca