SHAH ALAM - Kerajaan perlu mengkaji semula Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (PDPA) dan mengenakan hukuman setimpal kepada pihak bertanggungjawab termasuk penjawat awam dan kontraktor kepada sektor kerajaan susulan kebocoran data... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Kerajaan perlu mengkaji semula Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (PDPA) dan mengenakan hukuman setimpal kepada pihak bertanggungjawab termasuk penjawat awam dan kontraktor kepada sektor kerajaan susulan kebocoran data peribadi membabitkan lebih 800,000 data pengguna yang didakwa diperoleh daripada sistem MySPR milik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Pakar Keselamatan Siber, Fong Choong Fook berkata, ia berikutan akta tersebut tidak mengenakan sebarang penalti hukuman atau tindakan kepada pekerja-pekerja dan kontraktor yang terlibat dengan sektor awam.

"Ini bermakna semua pekerja sektor kerajaan yang terlibat dengan kes kebocoran data peribadi, tidak akan dikenakan sebarang penalti.

"Jadi apa yang kita perlu buat adalah mengkaji semula dan memperluaskan penguatkuasaan Akta PDPA supaya dapat mengenakan hukuman berat kepada agensi-agensi yang terlibat dalam kes kebocoran data peribadi ini.

"Jika tidak, isu ini akan berterusan berlaku dan kerajaan tidak akan mengambil pendekatan serius berhubung perkara ini,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Pada Sabtu, media melaporkan lebih 800,000 data pengguna didakwa diperoleh daripada sistem MySPR milik SPR yang didakwa dijual pada harga RM9,401 di pangkalan data terkenal.

Berdasarkan laporan di laman web lowyat.net, difahamkan terdapat pangkalan data itu memiliki gambar swafoto dan MyKad yang menggunakan sistem elektronik Kenali-Pelanggan-Anda (e-KYC).

Dalam pada itu, Penolong Pengurus Digital Pemasaran, Miraa Azhar, 28 berkata, isu kebocoran data peribadi yang berlaku itu perlu dipandang serius oleh kerajaan kerana ia dikhuatiri boleh disalahguna oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

"Saya sebagai rakyat Malaysia memang bimbang kalau data saya dibocorkan dan di jual ke orang luar atau pihak tidak bertanggungjawab.

"Data-data ini boleh disalahgunakan untuk kegiatan ‘scam’, dadah dan identiti bagi rakyat asing,” ujarnya.

Selain itu, pekerja syarikat berkaitan kerajaan (GLC), Ahmad Faqif Fahmi Maula Mohd Hasni, 28 berkata, pemantauan dan kawalan dari aspek keselamatan siber perlu dipertingkatkan bagi mengelakkan data-data penting seperti itu boleh dibocorkan sama ada dari pihak dalam ataupun luar.

"Memang runsing bila fikirkan yang data peribadi kita senang-senang boleh dibocorkan begitu sahaja sebab macam-macam orang boleh buat dengan maklumat itu.

"Jadi pada saya, perlindungan keselamatan data-data itu perlu diperkemaskan lagi supaya ia tidak boleh dibocorkan begitu sahaja.

"Perkara ini kerajaan perlu beri perhatian yang sewajarnya,” ulasnya.

Klik di sini untuk terus membaca