Pensyarah Kanan Pusat Perdana Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali berkata, beliau melihat petunjuk berlaku gelombang tsunami politik sudah ada di mana tiket pengangkutan awam termasuk bas, kapal terbang dan kereta api ke Utara, Selatan dan Pantai Timur hampir habis dijual kerana ramai pengundi pulang ke kampung halaman.
Malah, Mazlan berkata keadaan jalan utama dan lebuh raya sama ada ke Pantai Timur, Selatan dan Utara juga mengalami kesesakan yang teruk.
"Hari ini kita mendengar bahawa berlaku kesesakan yang teruk berlaku di laluan lebuh raya dan jalan utama menuju ke Pantai Timur, Utara dan Selatan tanah air.
"Ini menunjukkan ada keazaman tinggi dalam kalangan pengundi luar untuk balik ke kampung halaman masing-masing dan mengundi parti dan calon pilihan mereka.
"Fenomena ini mungkin menyebabkan peratusan keluar mengundi PRU15 melebihi 80 peratus, sekali gus memungkinkan berlakunya tsunami politik besar-besaran sekali lagi seperti terjadi pada PRU14 lalu," katanya kepada Sinar Premium.
Berikutan itu, Mazlan yakin peratusan keluar mengundi PRU15 akan melebihi kadar semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor, sebelum ini.
"Kalau peratusan keluar mengundi PRU15 melebihi 70 peratus, sudah dikira tinggi namun, saya menjangkakan ia akan mencecah lebih 80 peratus.
"Ini adalah petunjuk bahawa terdapat gelombang keazaman rakyat untuk memberikan mandat kepada mana-mana gabungan parti politik yang akan mereka pilih esok (Sabtu)," katanya.
Ditanya sama ada gelombang tsunami berkenaan akan menguntungkan BN atau PH atau PN, Mazlan berkata, perkara itu sukar diramal kerana pengundi mempunyai faktor tersendiri untuk memilih parti dan calon bertanding pada PRU15 ini. Klik di sini untuk terus membaca