SHAH ALAM - Kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ini tidak lagi sesuai diklasifikasikan sebagai Kerajaan Perpaduan, sebaliknya kerajaan campuran melibatkan gabungan beberapa blok parti politik. Pensyarah... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ini tidak lagi sesuai diklasifikasikan sebagai Kerajaan Perpaduan, sebaliknya kerajaan campuran melibatkan gabungan beberapa blok parti politik.

Pensyarah Sosiologi Politik dari Universiti Sains Malaysia, Profesor Dr Sivamurugan Pandian berkata, Perikatan Nasional (PN) telah mengesahkan mahu menjadi pembangkang dan akan memainkan peranan semak dan imbang di Dewan Rakyat nanti.

Disebabkan itu katanya, adalah lebih sesuai kerajaan Anwar dipanggil sebagai kerajaan campuran yang dibentuk daripada gabungan pelbagai parti politik melibatkan Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Parti Warisan dan ahli Parlimen Bebas.

"Justeru, kerajaan campuran ini lebih sesuai dirujuk sebagai ‘Kerajaan Perpaduan Penyatuan Nasional’ kerana menggabungkan empat blok berbeza iaitu PH, BN, GPS dan GRS,” katanya kepada Sinar Premium.Jelasnya, walaupun PN tidak berada dalam kerajaan campuran berkenaan, namun mereka tetap boleh bekerjasama dan memainkan peranan lebih berkesan dalam membantu mewujudkan kestabilan politik dan ekonomi negara.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (dua dari kiri) dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah (dua dari kanan) berkenan bergambar bersama Anwar dan isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di Istana Negara pada Khamis.

Sivamurugan berkata lagi, perkara itu boleh dicapai jika kerajaan ini menandatangani perjanjian kepercayaan dan perbekalan (CSA) dengan PN seperti pernah wujud antara kerajaan pimpinan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan PH, sebelum ini.

Anwar dalam sidang akhbar pertamanya pada Khamis, mengajak PN mendukung Kerajaan Perpaduan yang ditubuhkan itu.

Anwar mengakui, walaupun reaksi awal PN agak kurang memberangsangkan, beliau berharap pertimbangan sewajarnya dapat dibuat mereka bagi membolehkan hasrat penubuhan Kerajaan Perpaduan itu dijayakan.

Namun, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin menolak tawaran itu kerana mahu mengukuhkan demokrasi dengan memainkan peranan sebagai pembangkang berwibawa untuk semak dan imbang kepada kerajaan di Parlimen.

Sivamurugan berkata, cabaran paling utama bakal dihadapi Anwar adalah mengimbangi kepercayaan, mewujudkan kerjasama dan hubungan erat kalangan pemimpin parti gabungannya.

Beliau berkata, kepercayaan itu penting bagi memastikan kerajaan campuran pimpinan Anwar tidak goyah di mana masih terdapat perasaan syak wasangka dan ketidakpercayaan antara satu sama lain.

"Cabaran kedua kerajaan campuran pimpinan Anwar untuk mengumpulkan semua janji dan tawaran manifesto Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dibuat oleh parti gabungan dan mencari titik kebersamaan.

"Ini penting bagi memastikan janji mereka boleh dilaksanakan secara berperingkat mengikut keutamaan misalnya isu kos sara hidup dan menangani kenaikan harga barangan; merancakkan ekonomi, pendidikan, peluang kerja dan pengangguran serta pengurangan kadar tol,” kata beliau.

Klik di sini untuk terus membaca