SHAH ALAM - Terdapat dua langkah utama yang boleh dilaksanakan kerajaan di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam usaha menjimatkan perbelanjaan negara dan mengelakkan pembaziran.
Pensyarah Kanan Politik Ekonomi Universiti Teknologi Mara Sabah, Dr Firdausi Suffian berkata, dua perkara itu adalah meneliti semula pelaksanaan projek setiap kementerian dan menangani ketirisan dalam pemberian subsidi.
Katanya, untuk memastikan penjimatan dapat dilakukan, kerajaan harus membuat penilaian yang teliti supaya perbelanjaan bakal dikeluarkan itu hanya tertumpu kepada projek yang mampu memberi nilai tambah kepada pembangunan ekonomi dan rakyat.
Firdausi berkata, dengan mengambil langkah tersebut, kerajaan dianggarkan dapat menjimatkan sekitar hampir RM1 bilion setahun.
Beliau berkata, nilai boleh dijimatkan adalah selepas mengambil kira jumlah kerugian dialami negara akibat pembaziran dan ketirisan seperti tercatat dalam Laporan Ketua Audit Negara 2019.
"Jumlah RM1 bilion ini sama dengan bajet tahunan untuk pembangunan negeri Perlis. Bayangkan jumlah sebegitu besar boleh tiris begitu sahaja,” ujarnya.
Mengulas mengenai ketirisan dalam pemberian subsidi pula Firdausi berkata, pemantauan wajar ditingkatkan agar ia tidak terbazir kepada kumpulan tidak memerlukan.
Kerajaan mengunjurkan perbelanjaan subsidi kepenggunaan berjumlah RM77.3 bilion bagi 2022 setakat ini. Subsidi kepenggunaan berkenaan meliputi petrol, diesel, gas petroleum cecair (LPG), minyak masak, tepung dan elektrik bagi mengurangkan kos sara hidup rakyat.
Sementara itu, Ketua Penyelidik Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia, Dr Shankaran Nambiar berkata, kerajaan wajar menyemak dengan teliti setiap projek yang dilaksanakan jika mahu melakukan penjimatan secara signifikan.
Katanya, dengan mengamalkan proses perolehan dan tadbir urus yang baik, kerajaan boleh mendapatkan penjimatan antara 6 hingga 10 peratus daripada setiap projek yang dijalankan.
"Proses penjimatan ini matlamat utamanya adalah supaya dana yang ada itu dapat dikembalikan kepada program yang mampu meningkatkan kesejahteraan penduduk,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca