SHAH ALAM - Tindakan beberapa pihak terutama pembangkang yang memainkan sentimen propaganda dan fitnah terhadap kerajaan tidak akan membantu dalam usaha membangunkan negara ke arah yang lebih baik.
Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0), Thomas Fann berkata, semua pihak perlu berlapang dada selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berakhir dengan memberikan kerjasama kepada kerajaan yang telah dipilih untuk memulihkan negara.
Menurutnya, pertelingkahan politik yang tidak matang turut sama akan memberikan kesan kepada penderitaan rakyat terutama dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi semasa.
"Krisis segera yang dihadapi negara kita ialah kos sara hidup yang tinggi memberi kesan kepada semua rakyat.
"Orang-orang yang sentiasa bermain politik untuk menggugat kerajaan yang dipilih telah menggugat kestabilan negara kita kerana akan menghalau pelabur dan rakyat akan menderita," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Sebelum ini, beberapa pihak termasuk pembangkang memainkan sentimen propaganda dan fitnah terhadap kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dikhuatiri akan menyulitkan usaha memulihkan negara.
Malah, terdapat pihak yang melancarkan serangan peribadi terhadap Anwar dengan menggali semula isu lama yang pernah didakwa terhadap Pengerusi Pakatan Harapan itu.
Dalam masa sama, beliau juga menasihati rakyat di negara ini supaya tidak mudah terpedaya dengan propaganda dan fitnah yang sedang cuba dimainkan.
Beliau turut mengharapkan pembangkang dapat memainkan peranan yang lebih matang sekali gus memastikan mereka sebagai medium semak dan imbang yang berkesan kepada kerajaan.
"Untuk menilai Anwar secara lebih rasional adalah melalui apa yang beliau lakukan dan bukan apa yang didakwa oleh lawan politiknya.
"Kita juga perlu mencari jalan untuk pembangkang memainkan peranan yang bermakna melalui reformasi Parlimen yang membolehkan mereka menjadi semak dan imbang yang berkesan melalui saluran yang betul," katanya.
Klik di sini untuk terus membaca