SHAH ALAM - Gerakan Belia Se-Punjabi Malaysia (GBPM) menyambut baik ketegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak mengizinkan kelulusan perolehan kerajaan tanpa tender.
Presiden GBPM, Gupreet Singh berkata, tindakan tersebut jelas menunjukkan keseriusan Anwar untuk membanteras amalan rasuah dalam kalangan penjawat awam selain mengembalikan imej golongan itu yang sebelum ini terpalit isu integriti.
"Kalau tengok latar belakang Anwar memang ada pengalaman dalam tadbir urus yang baik menerusi korporat dan sebagainya manakala syarikat-syarikat besar sememangnya mengamalkan tender terbuka dan tidak akan melantik secara runding terus bagi menjaga kredibiliti mereka.
Dalam pada itu Gupreet berkata, rakyat Malaysia harus mempunyai perasaan sayang kepada negara sekali gus tidak melakukan kemudaratan kepada tanah air terutama amalan rasuah.
"Malaysia adalah negara kita semua, jadi kena ada perasaan cinta terhadap negara. Orang yang minta kontrak secara langsung mungkin tiada rasa kasih kepada negara. Kalau ada rasa sayang, mereka tak akan minta kerana tahu ia perbuatan menyeleweng peruntukan kerajaan.
"Ketegasan Perdana Menteri ini akan membuka peluang kepada negara untuk keluar daripada sistem yang terpalit dengan amalan rasuah,” ujarnya.
Sementara itu wakil Persatuan Buddha Pulau Pinang, Vincent Tan berkata, langkah yang akan dilaksanakan itu melambangkan kesungguhan kerajaan membentuk penjawat awam yang lebih berintegriti dan disenangi rakyat.
"Semoga langkah ini dapat membersihkan institusi kerajaan daripada amalan rasuah sekali gus mengembalikan keyakinan rakyat terhadap integriti penjawat awam,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca