SHAH ALAM - Langkah kerajaan untuk tidak lagi melaksanakan pemberian kelulusan perolehan projek tanpa tender bakal meningkatkan lagi keyakinan masyarakat antarabangsa terutamanya pelabur dan syarikat perniagaan terhadap Malaysia.
Setiausaha Agung Transparency International Malaysia (TI-Malaysia), Raymon Ram berkata, pendirian tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkenaan isu tersebut akan secara langsung mewujudkan suasana perniagaan lebih kompetitif di dalam negara.
"Langkah ini sebenarnya menggalakkan persaingan lebih kompetitif di dalam negara kerana ini bermaksud sesuatu pihak itu hanya boleh menang dengan merit. Tidak ada lagi surat sokongan dan amalan kronisme pun tidak diterima lagi.
"Jadi sekarang kita akan saksikan perdagangan yang adil, lebih banyak pelaburan asing akan datang dan perniagaan dari Malaysia pun boleh berjaya sebab kita boleh bersaing dalam pasaran yang kompetitif,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa menegaskan bahawa supaya kerajaan baharu tidak boleh lagi membenarkan berlakunya kelulusan perolehan tanpa tender dalam pentadbiran.
Ahli Parlimen Tambun itu berkata, Kerajaan Perpaduan pimpinannya tidak akan mengizinkan sebarang kebocoran, ketirisan dan rasuah untuk terus berleluasa.
Raymon berkata, pendirian dinyatakan Anwar itu adalah sangat tepat untuk menangani amalan kronisme yang disifatkan sebagai antara masalah utama membelenggu negara sebelum ini.
Sehubungan itu, beliau berkata, sekiranya pendirian itu dilaksanakan, ia bakal meningkatkan lagi tahap ketelusan, integriti dan akauntabiliti di sektor awam negara.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan Malaysia dianggarkan mengalami kerugian hampir RM1 trilion dalam tempoh 25 tahun akibat amalan rasuah serta ketirisan dalam pengurusan negara.
Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) EMIR Research, Datuk Dr Rais Hussin Mohamed Ariff berkata, jumlah tersebut mewakili hingga empat peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sejak tahun 1997.
Klik di sini untuk terus membaca