SHAH ALAM - Ketua Pemuda UMNO Bahagian Simpang Renggam, Mohd Faizal Mat Said mencadangkan mana-mana pemimpin sayap pemuda parti itu tidak perlu menerima sebarang tawaran pelantikan jawatan Kerajaan Perpaduan, sama ada di peringkat kabinet... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Ketua Pemuda UMNO Bahagian Simpang Renggam, Mohd Faizal Mat Said mencadangkan mana-mana pemimpin sayap pemuda parti itu tidak perlu menerima sebarang tawaran pelantikan jawatan Kerajaan Perpaduan, sama ada di peringkat kabinet mahu pun syarikat berkaitan kerajaan (GLC) kelak.

Jelas beliau, hal ini kerana UMNO dan Barisan Nasional (BN) masih dalam proses menenangkan akar umbi parti itu yang masih terkejut dengan keputusan parti bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk kerajaan di Pusat dan dua negeri pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Katanya, Pemuda UMNO Bahagian Simpang Renggam turut melihat hala tuju kerjasama UMNO-BN dan PH belum jelas dan masih di peringkat penilaian sama ada ia akan berkekalan sehingga mendepani PRU16 atau sebaliknya.

"Bagi saya, lebih baik Pemuda UMNO kembali menumpukan usaha menenangkan akar umbi parti yang kelihatan agak resah dengan keputusan UMNO membatalkan segala ketetapan dibuat perwakilan parti sewaktu Perhimpunan Agung UMNO (PAU) lalu demi membentuk sebuah kerajaan stabil.

"Mengambil iktibar hasil dua gabungan kerajaan sewaktu era pandemik Covid-19, saya melihat keperluan Pemuda UMNO mengekalkan identiti sebagai penyumbang suara semak dan imbang terhadap kerajaan.

MOHD FAIZAL

"Dengan itu, saya mencadangkan Pemuda UMNO wajar memutuskan untuk menolak apa-apa jawatan atau pun lantikan di dalam barisan Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Pendirian ini penting bagi menunjukkan kepada akar umbi UMNO dan rakyat bahawa UMNO-BN tidak mengorbankan prinsip untuk bekerjasama dengan PH demi membentuk kerajaan, semata-mata mahukan jawatan politik," ujarnya kepada Sinar Premium pada Jumaat.

Beliau berkata demikian bagi mengulas spekulasi beberapa pemimpin UMNO termasuk Ketua Pemudanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki difahamkan telah ditawarkan jawatan politik oleh Anwar termasuk jawatan Timbalan Menteri.

Pada Jumaat, Anwar mengesahkan beliau akan mengumumkan senarai pelantikan menteri kabinet Kerajaan Perpaduan setelah seminggu dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10.

Pasca PRU15, Anwar akhirnya mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong untuk dilantik sebagai Perdana Menteri baharu setelah mendapat sokongan BN, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Parti Warisan, Parti Bangsa Malaysia (PBM), Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) dan Bebas.

Berikutan keputusan BN itu, UMNO yang merupakan sebahagian parti koalisi berkenaan kini seolah-olah terpecah kepada dua apabila sebahagian besar pemimpin dan ahli parti berkenaan menyokong pendirian Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, manakala sebilangan lagi menolak kerjasama dengan PH.

Klik di sini untuk terus membaca