[INFOGRAFIK] SEJAK Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri baharu, muncul suara-suara kurang enak mendakwa gabungan parti politik yang membentuk Kerajaan Perpaduan untuk menerajui... Klik di sini untuk terus membaca

[INFOGRAFIK] SEJAK Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri baharu, muncul suara-suara kurang enak mendakwa gabungan parti politik yang membentuk Kerajaan Perpaduan untuk menerajui negara didominasi oleh pemimpin bukan Melayu Islam.

"Yang dominasi sekarang adalah DAP, bukan Islam. Dalam PKR, sebahagiannya sahaja Islam daripada 30 kerusi dimenangi mereka, sebahagian lagi bukan Islam. DAP pula meraih 40 kerusi,” kata seorang pemimpin dalam ceramahnya baru-baru ini.

Bagaimanapun, dakwaan pemimpin itu telah disanggah oleh Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang menyatakan bahawa Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar masih didominasi oleh Ahli Parlimen Melayu beragama Islam.

Menurut Asyraf Wajdi, terdapat 74 orang ahli Parlimen Melayu beragama Islam dalam gabungan itu, ahli Parlimen berbangsa Cina seramai 34 orang, India lapan orang dan lain-lain dua orang.

Justeru, Sinar Premium telah mengambil inisiatif untuk menyemak sejauh manakah kebenaran dakwaan pemimpin pembangkang dan juga Asyraf Wajdi itu.

148 Ahli Parlimen beragama Islam

Berdasarkan data keputusan PRU15 yang dicerakin, secara amnya Dewan Rakyat Malaysia masih didominasi oleh Ahli Parlimen beragama Islam.

Keseluruhannya, terdapat 148 Ahli Parlimen beragama Islam, termasuk Bumiputera Muslim Malaysia Timur yang meliputi Sabah dan Sarawak.

Sementara Ahli Parlimen bukan beragama Islam sekitar 73 orang sahaja yang mana kaum Cina diwakili oleh 43 orang Ahli Parlimen, Bumiputera bukan Muslim Malaysia Timur (18) dan India serta lain-lain kaum (12).

Jika dipecahkan dalam bentuk peratusan, sebanyak 66.97 peratus Ahli Parlimen beragama Islam mewakili suara rakyat manakala Ahli Parlimen bukan beragama Islam merangkumi 33.03 peratus sahaja.

Majoriti penduduk Melayu beragama Islam

Ini kerana Malaysia pada dasarnya mempunyai majoriti penduduk Melayu beragama Islam yang secara tidak langsung turut mempengaruhi jumlah Ahli Parlimen di dalam Dewan Rakyat.

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Negara pada Julai lalu, Malaysia mencatat populasi penduduk berjumlah 32.7 juta orang.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, daripada jumlah tersebut, kaum Melayu merangkumi 57.7 peratus atau 18.8 juta, Cina (22.98 peratus atau 7.4 juta), Bumiputera (12.2 peratus atau 3.9 juta), India (6.6 peratus atau 2.1 juta) dan Lain-lain kaum (0.7 peratus atau 228,900.

Perkara sama juga dilihat berlaku dari sudut parti yang menyokong Anwar bagi membentuk Kerajaan Perpaduan yang ditadbirnya pada hari ini.

Ahli Parlimen di bawah blok kerajaan yang terbina hasil gabungan PH, Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Warisan, Parti Kesejateraan Demokratik Malaysia (KDM), Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan Bebas masih didominasi oleh pemimpin beragama Islam.

Seramai 77 Ahli Parlimen blok kerajaan terdiri daripada Melayu beragama Islam, merangkumi Bumiputera Muslim Malaysia Timur mendominasi blok kerajaan.

Ahli Parlimen bukan beragama Islam yang berada di dalam blok sama pula merangkumi seramai 71 orang yang mana 43 daripadanya kaum Cina, Bumiputera bukan Muslim Malaysia Timur (16) serta India dan lain-lain kaum (12).

Bagi blok pembangkang pula, Ahli Parlimen beragama Islam merangkumi seramai 71 orang termasuk, seorang daripada Bumiputera Malaysia Timur.

Sementara Ahli Parlimen pembangkang yang bukan beragama Islam pula jumlahnya ialah seramai dua orang yang terdiri daripada Bumiputera Malaysia Timur.

Tiada kaum Cina, India dan lain-lain kaum dalam komposisi parti pembangkang yang terdiri daripada gabungan Bersatu, Pas dan Gerakan.

Melihat kepada perbandingan data antara jumlah Ahli Parlimen Islam dan bukan Islam di dalam blok kerajaan, jelas terlihat bahawa Ahli Parlimen Islam lebih mendominasi blok berkenaan berbanding Ahli Parlimen bukan Islam.

Jumlahnya juga dilihat seimbang antara satu sama lain yang mana hanya terdapat perbezaan sebanyak tujuh orang sahaja.

Malah, jumlah Ahli Parlimen Islam di dalam blok kerajaan dan pembangkang juga tidak menampakkan perbezaan yang ketara.

Perbezaan jumlahnya hanya tujuh, sama dengan banyaknya bilangan Ahli Parlimen bukan Islam di dalam blok kerajaan.

Namun, jurang antara Ahli Parlimen beragama Islam dengan bukan Islam di dalam blok pembangkang dilihat amat ketara iaitu 69 orang kerana Ahli Parlimen bukan Islam yang berada di dalam blok tersebut hanya dua orang.

Dari segi sudut lain pula, blok kerajaan yang diketuai oleh Anwar itu nampak lebih berbilang kaum, selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mahukan kerajaan perpaduan susulan masalah Parlimen tergantung dihadapi selepas PRU15 lalu.

Kerajaan Perpaduan yang membentuk dua pertiga sokongan itu terdiri daripada 148 Ahli Parlimen terdiri daripada Melayu, Cina, India, Bumiputera Malaysia Timur dan lain-lain kaum.

Daripada jumlah tersebut, Ahli Parlimen Melayu merangkumi seramai 50 orang, Cina (43), Bumiputera Muslim Malaysia Timur (27), Bumiputera bukan Muslim Malaysia Timur (16) serta Idnia dan lain-lain kaum (12).

Sungguhpun dianggotai oleh Ahli Parlimen berbilang kaum, namun Ahli Parlimen Melayu beragama Islam masih dilihat mendominasi blok kerajaan.

Berdasarkan data-data yang diberikan, jelas sekali bahawa Kerajaan Perpaduan yang diketuai oleh Anwar didominasi oleh pemimpin Melayu beragama Islam.

Jumlahnya masih mengatasi pemimpin kaum lain yang berada di dalam blok kerajaan walaupun tidak begitu ketara.

Klik di sini untuk terus membaca