SHAH ALAM - Pakar Perlembagaan berpandangan pengasingan fungsi antara peguam negara dan pendakwa raya perlu untuk mengurangkan pemusatan kuasa kepada seorang individu. Pensyarah dan Penyelidik di Pusat Polisi Perdana, Fakulti Teknologi dan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pakar Perlembagaan berpandangan pengasingan fungsi antara peguam negara dan pendakwa raya perlu untuk mengurangkan pemusatan kuasa kepada seorang individu.

Pensyarah dan Penyelidik di Pusat Polisi Perdana, Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia Kampus Kuala Lumpur, Profesor Madya Dr Muhammad Fathi Yusof berkata, langkah itu turut membolehkan proses perundangan dapat dilaksanakan dengan lebih telus.

Menurut beliau, peranan pendakwaan adalah satu bidang yang penting kerana meliputi kuasa untuk menilai laporan siasatan dikemukakan oleh pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam menentukan sama ada seseorang yang disiasat itu layak atau tidak didakwa di mahkamah.

"Oleh itu, elemen paling penting adalah kebebasan peguam negara atau pendakwa raya itu sendiri supaya kedua-kedua institusi ini tidak terikat dengan pengaruh politik.

"Ini bermaksud walaupun mereka berada dalam agensi kerajaan, mereka sewajarnya diberi peluang untuk membuat keputusan tanpa pengaruh daripada menteri sama ada Menteri Undang-Undang atau Perdana Menteri itu sendiri,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Pada Sabtu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Urusan Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said menegaskan, fokus utamanya adalah untuk menyemak semula undang-undang 'lapuk' dan membuat pindaan diperlukan agar relevan pada masa kini.

Sebagai contoh, kata Ahli Parlimen Pengerang itu, termasuklah usaha pengasingan kuasa antara peguam negara dan pendakwa raya untuk memelihara kebebasan budi bicara pendakwa raya.

Dalam pada itu, Muhammad Fathi berkata, kebaikan pengasingan kuasa itu dapat mengurangkan penumpuan kuasa kerana peranan itu dipisahkan daripada peguam negara yang mempunyai fungsi sangat besar dalam urusan perundangan.

"Keduanya, kedudukan sebagai seorang peguam negara ini mempunyai hubungan rapat dengan Perdana Menteri atau menteri. Mereka selalu berurusan bagi isu-isu berkaitan penasihatan perundangan negara.

"Jadi dikhuatiri hubungan yang rapat itu mempengaruhi penilaian seseorang peguam negara dalam menentukan pendakwaan terutamanya jika melibatkan individu yang mempunyai hubungan rapat dengan Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri,” jelasnya.

Menurut beliau, melihat pada situasi sekarang ini menjadi lebih kritikal kerana Timbalan Perdana Menteri yang ada dalam barisan kabinet baharu itu sedang menghadapi perbicaraan kes di mahkamah.

"Jadi isu-isu berkaitan integriti ini merupakan satu perkara yang sangat sensitif dan perlu diberi perhatian serius oleh kerajaan sekarang,” ujarnya.

Muhammad Fathi berharap sekiranya pemisahan kuasa antara peguam negara dan pendakwa raya sebagai satu jawatan berasingan berlaku maka ia perlu melalui satu proses pelantikan yang bebas.

"Ini bermaksud Perdana Menteri walaupun berperanan sebagai penasihat Yang di Pertuan Agong tetapi sepatutnya peranan itu perlu melalui proses semakan terutamanya kuasa Parlimen sebagai satu badan legislatif untuk mempersoalkan pelantikan peguam negara atau pendakwa raya yang akan diwujudkan nanti.

Klik di sini untuk terus membaca