SHAH ALAM - Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan bekas Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof dikaitkan dengan jawatan Yang di-Pertua Dewan Rakyat... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan bekas Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof dikaitkan dengan jawatan Yang di-Pertua Dewan Rakyat baharu.

Spekulasi menggantikan Tan Sri Azhar Azizan Harun itu tercetus sejak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan senarai penuh kabinet Kerajaan Perpaduan, Jumaat lalu.

Wan Junaidi bagaimanapun menyangkal sambil menegaskan, sehingga kini tiada sebarang notis atau pemakluman diterima untuk mengisi kerusi berkenaan seperti yang diuar-uarkan.

"Macam mana (laporan) boleh sebut (nama saya) begitu sahaja? Macam mana notis 14 hari (hendak diberikan) kalau saya tidak ditanya.

"Maksudnya, bukanlah saya (ditawarkan Speaker Dewan Rakyat), mudah sahaja,” katanya ketika kepada Sinar Harian pada Ahad.

Mohamad Ariff yang juga bekas Hakim Mahkamah Rayuan memberitahu, sehingga petang Ahad, tiada surat tawaran rasmi daripada kerajaan pimpinan Anwar berhubungan pelantikan berkenaan sampai ke tangannya.

Untuk rekod, Mohamad Ariff telah dilantik sebagai Speaker Dewan Rakyat kesembilan, dari 16 Julai 2018 hingga 13 Julai 2020, sebelum digantikan oleh Azhar Azizan selepas kerajaan Pakatan Harapan tumbang pada Februari 2020.

Hari ini merupakan hari terakhir bagi pemakluman atau pemberian notis berhubung pelantikan Speaker Dewan Rakyat kepada Setiausaha Dewan Rakyat sebelum persidangan Parlimen berlangsung 19 Disember ini.

Oleh itu, calon Speaker Dewan Rakyat sepatutnya sudah dihubungi bagi mendapatkan persetujuan dalam lantikan ke jawatan tersebut.

Pada Jumaat, Azhar Azizan mengesahkan akan mengosongkan kedudukannya sebagai Speaker Dewan Rakyat sebelum Parlimen bersidang pada 19 Disember ini.

Sesi itu akan dikendalikan oleh Setiausaha Dewan Rakyat.

Klik di sini untuk terus membaca