SHAH ALAM - Pemisahan kuasa Peguam Negara dan pendakwa raya perlu dilaksanakan ekoran banyak kes pendakwaan berprofil tinggi yang dituduh di mahkamah, termasuk melibatkan anggota pentadbiran kerajaan.
Ahli Jawatankuasa Pertubuhan Pengamal Undang-Undang Hak Asasi Manusia Malaysia (ProGuam), Dr Zulqarnain Lukman berkata, berdasarkan Perkara 145(2) Perlembagaan Persekutuan, Peguam Negara ditugaskan menasihati Yang di-Pertuan Agong dan Jemaah Menteri berkaitan hal undang-undang.
Menurutnya, Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan pula menyatakan Peguam Negara mempunyai kuasa yang boleh dijalankan menurut budi bicaranya, untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding bagi sesuatu kesalahan, selain prosiding di hadapan Mahkamah Syariah, mahkamah anak negeri atau mahkamah tentera.
"Kadangkala, berlaku konflik kepentingan apabila Peguam Negara akan memberikan nasihat perundangan kepada anggota kabinet yang dituduh di mahkamah dan pada masa sama, mereka juga yang buat pertuduhan."Rasional reformasi ini untuk mengukuhkan institusi perundangan negara kelak, kuasa di bawah Perkara 145(2) dan Perkara 145(3) akan dipisahkan,” katanya kepada Sinar Harian.Zulqarnain berkata lagi, keadaan itu akan menimbulkan persepsi negatif kepada pelabur asing yang melihat institusi Peguam Negara tidak bebas dalam membuat keputusan.
"Misalnya dalam kes kapal tempur pesisir (LCS), pastinya Peguam Negara ketika itu yang akan mendraf dan meluluskan perjanjian pihak Kementerian Pertahanan, namun jika berlaku salah laku, Peguam Negara yang sama akan membuat pertuduhan,” jelasnya.
Kata beliau, menteri seharusnya membuat kajian mendalam tentang hal berkenaan kerana ia melibatkan isu perjawatan kerajaan, kakitangan dan pejabat.
Tambahnya, ia juga memerlukan pindaan Perlembagaan yang memerlukan kelulusan dua per tiga majoriti Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
Klik di sini untuk terus membaca