[INFOGRAFIK] Umum sedia maklum, Datuk Johari Abdul telah dipilih sebagai Yang di-Pertua Dewan Rakyat baharu bagi menggantikan Tan Sri Azhar Harun selepas memperoleh undi sokongan tertinggi dari Ahli-Ahli Dewan Rakyat pada Isnin.
Setiausaha Dewan Rakyat, Dr Nizam Mydin Bacha Mydin ketika mengumumkan keputusan itu memberitahu, Johari memperoleh sokongan 147 undi, sementara seorang lagi calon yang juga bekas Ahli Parlimen Kangar, Tan Sri Mohd Radzi Sheikh Ahmad memperoleh 74 undi.
Proses pengundian dilaksanakan dengan kaedah setiap Ahli Parlimen diberi satu kertas dan mereka perlu menulis nama calon yang disokongnya, sebelum kiraan undi dibuat.
Usul pelantikan Yang Dipertua Dewan Rakyat baharu itu dibuat sebaik sahaja Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-15 bersidang jam 10 pagi.
Nama beliau dicadangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Yang di-Pertua Dewan Rakyat mewakili kerajaan dan disokong oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Johari yang pernah menjadi penyandang kerusi Parlimen Sungai Petani serta Dewan Undangan Negeri (DUN) Gurun merupakan seorang yang berpengalaman dalam bidang pentadbiran awam dan badan bukan kerajaan (NGO).
Beliau pernah menyandang jawatan sebagai Pengarah Biro Tatanegara, Pegawai Tadbir dan Diplomatik, Pengarah Pelaburan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), dan Pengarah Yayasan Gerak Bakti Kebangsaan.
Menyingkap perjalanan karier politiknya, Johari merupakan antara ‘orang kuat’ Anwar sejak dari era UMNO lagi.
Pada ketika itu, beliau memegang jawatan penting dalam parti dan proksi kepada beberapa pemimpin terkemuka dalam syarikat mereka.
Namun, segala-galanya berubah apabila Anwar dipecat daripada Kabinet Perdana Menteri keempat, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 1998.
Susulan itu, bapa kepada lapan orang anak itu terpaksa membuat pilihan sama ada bersama UMNO atau menyertai gerakan reformasi yang dicetuskan oleh bekas Timbalan Perdana Menteri itu.
"Ia adalah masa yang sukar bagi saya. Saya berbincang dengan isteri dan anak-anak, mereka berkata saya seharusnya berjuang.
"Jadi saya menyertai Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail menubuhkan Keadilan,” kongsinya dalam satu untaian di Twitter.
Keputusan yang diambil itu menyebabkan Johari kehilangan semua jawatan yang menawarkan pendapatan lumayan pernah disandangnya sebelum ini.
"Saya terpaksa hidup dengan menjadi seorang penjaja di Pasar Pudu selama dua tahun,” tambahnya lagi.
Bagimanapun, hidupnya berubah selepas beliau memenangi kerusi Parlimen Sungai Petani dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 pada 2008.
Klik di sini untuk terus membaca