PADA malam 23 Disember lalu, seorang pengguna Twitter terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur selama lapan jam kerana jadual penerbangannya ke Kuching, Sarawak tertangguh. Isu kelewatan jadual penerbangan di Malaysia bukan... Klik di sini untuk terus membaca

PADA malam 23 Disember lalu, seorang pengguna Twitter terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur selama lapan jam kerana jadual penerbangannya ke Kuching, Sarawak tertangguh.

Isu kelewatan jadual penerbangan di Malaysia bukan fenomena baharu. Fenomena tersebut turut menjadi norma di luar negara terutama penerbangan domestik di China dan Amerika Syarikat (AS).

Antara faktor utama yang menyebabkan penangguhan atau pembatalan tiket kapal terbang adalah keadaan cuaca di negara bermusim agak sukar diramal.

Bagi melindungi hak penumpang, kebanyakan undang-undang negara yang mengawal selia pengendalian syarikat penerbangan mewajibkan pampasan yang perlu diberi kepada penumpang sekiranya penerbangan dibatalkan atau ditunda.

Ramai netizen di media sosial yang mencadangkan pengguna Twitter tersebut membuat tuntutan pampasan terhadap syarikat penerbangan tetapi isu sebenarnya adalah ketidaktanggungjawaban syarikat penerbangan tersebut.

Syarikat penerbangan sepatutnya memberikan penjelasan, memohon maaf dan membayar pampasan kepada penumpang-penumpang sekiranya kelewatan jadual penerbangan melebihi satu tempoh masa tertentu yang telah ditetapkan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke terpaksa mengambil tindakan terhadap kes tersebut dan meminta syarikat penerbangan berkenaan bertanggungjawab untuk menghubungi semua penumpang serta meminta maaf.

Anthony turut ‘mengambil kesempatan’ menuding jari ke arah Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) yang sepatutnya menerima aduan sedemikian.

Hal tersebut amat menghairankan kerana pada Disember 2019, Mavcom digabungkan dengan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) di bawah penyeliaan menteri yang sama atas inisiatif kerajaan untuk merasionalisasikan badan pengawal seliaan penerbangan awam menerusi satu entiti.

LINDUNGI PENGGUNA

Untuk Mavcom yang tidak mempunyai unit penguatkuasaan, bagaimanakah pihak berkenaan boleh mengambil tindakan terhadap syarikat penerbangan yang tidak mematuhi Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016?

Di bawah kod tersebut yang diterbitkan oleh Mavcom pada Julai 2016, Seksyen 15 menyatakan bahawa syarikat penerbangan harus menyediakan notis bertulis, pampasan dan penjagaan sekiranya penumpang yang terjejas oleh kelewatan penerbangan selama sekurang-kurangnya dua jam meminta penjelasan.

Seksyen 15 turut menyatakan bahawa jika penerbangan lewat sekurang-kurangnya dua jam, hak penumpang khususnya berkenaan dengan pampasan dan penjagaan perlu dipamerkan dalam suatu notis di kaunter daftar masuk.

Dalam kes pengguna Twitter itu, dia meminta syarikat penerbangan tersebut untuk membuat penjelasan berkenaan penundaan penerbangan tetapi tidak mendapat sebarang jawapan.

Mengikut Kod Mavcom, syarikat penerbangan berkenaan telah melanggar peraturan. Persoalannya, agensi kerajaan manakah yang akan menguatkuasakan kod perlindungan itu untuk memastikan kebajikan penumpang terjamin?

Di AS, Jabatan Pengangkutan yang menetapkan bil hak penumpang penerbangan mempunyai hak menguatkuasakan bil tersebut.

Pada November lalu, Setiausaha Pengangkutan AS, Pete Buttigieg mengumumkan bahawa pegawainya menolong penumpang penerbangan mendapatkan bayaran tuntutan sebanyak AS$600 juta dan denda sebanyak AS$7.25 juta dikenakan ke atas syarikat penerbangan yang lambat mengambil tindakan setelah membatalkan atau menunda jadual penerbangan.

Dalam berita beberapa hari lalu, rakyat Kanada yang terpaksa menukar jadual perjalanan disebabkan pembatalan atau penundaan penerbangan sedang memfailkan kes di mahkamah tuntutan kecil setelah penat menunggu tindakan daripada Agensi Pengangkutan Kanada yang sibuk menangani 30,000 aduan tertunggak.

Setakat hari ini, beberapa penumpang telah menerima pampasan secara penyelesaian di luar mahkamah.

Sekiranya Mavcom tidak mempunyai hak menguatkuasakan kod yang diterbitkan, adakah sistem kehakiman sedia menerima beribu-ribu kes yang melibatkan hak penumpang penerbangan?

* Christine Cheah ialah seorang pemudi yang ingin mengangkat martabat wanita dalam kalangan masyarakat

Klik di sini untuk terus membaca