JOHOR BAHRU – Pengalaman berniaga secara ‘lari-lari’ selain disaman sebanyak dua kali oleh pihak Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) susulan tidak memiliki lesen penjaja serta lokasi yang sah merupakan antara pengalaman yang sukar... Klik di sini untuk terus membaca

JOHOR BAHRU – Pengalaman berniaga secara ‘lari-lari’ selain disaman sebanyak dua kali oleh pihak Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) susulan tidak memiliki lesen penjaja serta lokasi yang sah merupakan antara pengalaman yang sukar dilupakan oleh peniaga, Fauzi Jamhari, 50.

Menurut Fauzi yang juga bekas pengusaha kantin di salah sebuah sekolah di Johor Bahru itu, dia terpaksa memulakan perniagaannya sendiri susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dua tahun lalu sekali gus menyebabkan sumber rezekinya terjejas.

Justeru, biarpun sedar menjalankan perniagaan secara tidak sah, namun Fauzi tidak mempunyai pilihan selain meneruskan perniagaan dalam usaha menampung perbelanjaan harian ketika itu.

"Setelah tidak dapat meneruskan perniagaan di sekolah berkenaan susulan PKP, saya nekad memulakan perniagaan saya sendiri bersama isteri... walaupun sedar saya tidak ada lesen sebagai penjaja dan juga tapak berniaga yang sah (sewa tapak berniaga).

"Memang mencabar pada mulanya terutama apabila terpaksa cepat-cepat ‘tutup kedai’ atau lari apabila nampak pegawai penguat kuasa datang... kalau tak silap lebih kurang dua hingga tiga bulan juga saya menjalankan perniagaan seperti itu.

"Sehinggalah pada satu ketika saya disaman kerana berniaga tanpa lesen selain berniaga bukan di lokasi atau tapak yang dibenarkan pihak MBJB,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Fauzi, peristiwa dia disaman oleh pihak penguat kuasa itu sebenarnya telah membuka ‘peluang’ perniagaan baharu buatnya apabila pihak MPJB memberi khidmat nasihat kepadanya untuk memohon lesen dan seterusnya memohon tapak selain mengikuti kursus yang disediakan bagi meneruskan perniagaannya itu.

Malah katanya, pihak MBJB turut mengajarnya mengenai kaedah-kaedah yang betul bagi memohon lesen termasuk memohon tapak yang sesuai bagi tujuan sewaan.

"Biarpun disaman, tetapi saya kemudiannya mendapat ‘peluang’ untuk memohon lesen, tapak berniaga (sewa) termasuk mengambil suntikan (thypod) dan mengikuti kursus yang disediakan.

"Saya telah mengikuti kursus berkenaan yang dijalankan secara dalam talian kerana waktu itu negara dilanda Covid-19. Selama empat jam, saya telah mengikuti kursus berkenaan secara dalam talian sebelum menerima sijil yang kemudiannya dipos ke rumah.

"Kini, saya sudah pun memiliki lesen untuk berniaga yang perlu diperbaharui setiap tahun selain tapak sewa di Larkin yang perlu diperbaharui setiap dua bulan sekali,” jelasnya.

Klik di sini untuk terus membaca