[INFOGRAFIK] KEDUDUKAN Pengasas Space X, Elon Musk sebagai manusia paling kaya di dunia dilaporkan tergelincir ke tangga kedua susulan kerugian yang dialaminya sebanyak AS$200 bilion (RM880 bilion) baru-baru ini. Kerugian tersebut juga... Klik di sini untuk terus membaca

[INFOGRAFIK] KEDUDUKAN Pengasas Space X, Elon Musk sebagai manusia paling kaya di dunia dilaporkan tergelincir ke tangga kedua susulan kerugian yang dialaminya sebanyak AS$200 bilion (RM880 bilion) baru-baru ini.

Kerugian tersebut juga secara tidak langsung telah menjadikan Musk manusia pertama di dunia yang kehilangan wang sebanyak itu hasil daripada nilai kekayaan diperolehnya sebelum ini.

Menurut Indeks Bilionaire Bloomberg, kerugian tersebut dipercayai berpunca daripada kemerosotan saham Tesla sebanyak 65 peratus sejak tahun lalu.

Kini, nilai kekayaan yang dicatatkan oleh bilionaire berusia 52 tahun itu hanya berjumlah sekitar AS$126 bilion (RM553 bilion).

Sementara kedudukan takhta manusia paling kaya di dunia yang pernah disandangnya itu telah dirampas oleh bilionare dari Perancis iaitu Bernard Arnault.

Pengerusi syarikat LVMH Moët Hennessy Louis Vuitton itu mencatatkan nilai kekayaan sebanyak AS$172 bilion (RM754 bilion), AS$46 bilion (RM201 bilion) lebih banyak daripada nilai kekayaan Musk sekarang.

Tahun lalu, Musk buat julung-julung kalinya menguasai tempat pertama dalam senarai 'Senarai Bilionaire Dunia: Orang Paling Kaya pada 2022' yang dikeluarkan oleh majalah Forbes.

Harta kekayaannya yang dianggarkan bernilai AS$219 bilion (RM960 bilion) pada ketika itu diperoleh hasil daripada prestasi menakjubkan saham Tesla dalam tempoh dua tahun.

Susulan kejayaan tersebut, Musk berjaya merampas takhta manusia paling kaya di dunia yang sebelum ini disandang oleh pengasas Amazon, Jeff Bezos selama empat tahun berturut-turut bermula dari 2018.

Bagaimanapun, gelaran yang dipegangnya sejak September 2021 itu tidak bertahan lama apabila nilai kekayaannya merosot selepas saham Tesla berdepan dengan prestasi buruk.

Ia dikatakan berpunca daripada tindakan Musk membeli Twitter selain penangguhan seketika pengeluaran Tesla di China susulan penularan Covid-19.

Secara amnya, kekayaan Musk diperoleh daripada saham perniagaan syarikat yang ditubuhkanya, sama ada secara sendiri atau bersama.

Syarikat tersebut terdiri daripada Tesla, SpaceX, SolarCity, The Boring Company, Starlink dan Neuralink.

Oktober tahun lalu, beliau menambah lagi senarai pemilikan perniagaannya dengan membeli Twitter pada harga AS$44 bilion (RM194 bilion).

Bagaimanapun, Tesla tetap menjadi perniagaan penting yang menyumbang kepada nilai kekayaan Musk selain SpaceX, The Boring Company dan Twitter.

Sementara Neuralink dan Starlink pula dilaporkan masih belum mampu meraih keuntungan.

Klik di sini untuk terus membaca