SHAH ALAM - Empat jalan penyelesaian dicadangkan bagi mengatasi konflik politik di Sabah.
Penganalisis politik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mujibu Abd Muis berkata, syor pertama yang boleh digunakan adalah dengan mengadakan usul undi percaya dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memastikan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor masih mempunyai mandat berikutan dakwaan memiliki sokongan 44 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
"Dengan adanya usul ini, sokongan itu dibuktikan dan kerajaan yang dipimpin oleh Hajiji akan dapat dipertahankan.
"Usul undi percaya atau tidak percaya paling sesuai dilakukan seperti mana di Perak dalam kes Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dahulu,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Mujibu menambah, jalan penyelesaian yang kedua adalah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu menjadi pendamai berikutan kesemua pihak yang bertelagah adalah satu pasukan dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.
"Jalan penyelesaian ketiga adalah dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Presiden UMNO perlu memainkan peranannya disebabkan masalah ini timbul selepas kenyataan Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang tidak berpuas hati dengan Hajiji.
"Ia juga melibatkan UMNO yang kelihatan berpecah kepada dua kelompok, sesuatu yang tidak bagus buat UMNO dan BN khususnya parti itu yang akan mengadakan perhimpunan agung dan pemilihan,” jelasnya.
Selain itu ujarnya, jalan penyelesaian keempat adalah dengan Sabah menyegerakan pelaksanaan ordinan anti lompat parti yang ketika ini masih dalam proses perbahasan.
Pergolakan politik di Sabah tercetus apabila Bung Moktar mengumumkan UMNO dan BN Sabah menarik sokongan terhadap Hajiji sebagai Ketua Menteri pada Jumaat lalu.
Pada Ahad pula, Hajiji mengesahkan beliau menerima 44 sokongan daripada ADUN Sabah dan menyatakan kerajaan yang dipimpinnya kini masih dalam keadaan kukuh.
Klik di sini untuk terus membaca