SHAH ALAM - Subsidi bersasar kepada peminjam antara langkah yang dapat mengurangkan beban kepada golongan terkesan akibat Peningkatan Kadar Dasar Semalaman (OPR). Penganalisis ekonomi daripada Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Profesor Madya... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Subsidi bersasar kepada peminjam antara langkah yang dapat mengurangkan beban kepada golongan terkesan akibat Peningkatan Kadar Dasar Semalaman (OPR).

Penganalisis ekonomi daripada Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Profesor Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, subsidi bersasar kepada pinjaman tidak menjadi beban besar kepada kerajaan jika dibandingkan dengan subsidi terhadap bahan api.

"Ini kerana menerusi subsidi bersasar, jumlahnya diketahui dari awal hingga akhir berbanding jumlah subsidi bahan api yang sukar dikawal sepenuhnya kerana berlaku pelbagai kes penyalahgunaan dalam sektor selain penyeludupan ke negara-negara jiran.

"Mengenai subsidi bersasar kepada pinjaman pula, sebagai contoh kadar bayaran balik pinjaman iaitu RM500 sebulan sebelum ini telah naik kepada RM580.

"Apa yang boleh dilakukan adalah kerajaan memberikan subsidi bersasar sebanyak RM80 atas kenaikan tersebut dan ia perlu disalurkan kepada bank, maka peminjam masih kekal membayar sebanyak RM500,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Wawancara Sinar Ahad berkenaan implikasi kenaikan OPR pada 15 Januari.

Tambah Aimi Zulhazmi, subsidi bersasar kepada peminjam itu bukan sahaja untuk pinjaman kepada pengguna tetapi juga kepada perniagaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) supaya nasib usahawan dan peniaga tersebut terbela.

Jelas beliau, cadangan itu boleh dilaksanakan kerana dari sudut data, setiap bank sudah mempunyai data peminjamnya yang boleh dihubungkan dengan Kementerian Kewangan (MOF).

"Bank juga sudah boleh menganggarkan berapakah margin keuntungannya apabila OPR bertambah.

"Profil peminjam dan trend pembayarannya sudah pun diketahui dari pada kenaikan faedah atau keuntungan OPR, maka bank sudah boleh mengira jumlah yang diperlukan untuk disubsidi dan direkomendasi kepada MOF,” ujarnya.

Dalam pada itu, Aimi Zulhazmi berkata, MOF juga boleh memilih siapa yang berhak iaitu tanpa mengira golongan B40 dan M40 untuk menerima subsidi tersebut.

"Selepas mendapat kelulusan dari MOF, bank akan mengkreditkan kepada akaun peminjam sejumlah kenaikan faedah daripada OPR sahaja dan peminjam hanya perlu membayar kadar bulanan yang biasa misalnya pada kadar sekarang OPR adalah sebanyak 2.75 peratus.

"Jadi bagi golongan yang benar-benar terkesan terutama B40 dan M40 layak untuk menerima subsidi bersasar sebanyak 0.5 peratus. Pemberian subsidi itu terpulang oleh kerajaan sendiri untuk menetapkannya pada kadar berapa peratus mengikut kemampuan kerajaan ketika ini,” jelasnya.

Beliau memaklumkan bank pada setiap bulan akan membuat laporan dan claim (tuntut) subsidi itu menerusi MOF.

"Langkah sama telah dilakukan secara berdekad oleh syarikat-syarikat minyak untuk bahan api dan gas petroleum cecair (LPG) yang disubsidi melalui kementerian berkenaan,” ujarnya.

Selain itu, beliau menjelaskan bank juga membuat keuntungan daripada pasaran Money-Market dengan kenaikan OPR.

"Ini membantu sistem perbankan Malaysia untuk terus menjadi penarik kepada pelabur-pelabur asing dan tempatan tanpa memberikan kesan langsung kepada nilai mata wang ringgit sekiranya OPR tidak dinaikkan.

"Daripada pembayaran subsidi bersasar ke atas faedah atau keuntungan ini, bank juga mungkin boleh menggunakannya sebagai tax-rebate (rebat cukai) ke atas keuntungannya,” jelas beliau.

Klik di sini untuk terus membaca