SEJAK akhir-akhir ini topik inflasi meniti di bibir banyak pihak kerana ia memberikan kesan besar kepada kehidupan kita semua. Sebenarnya, masalah inflasi ini sudah berlaku sejak lama dahulu. Pernahkah anda mendengar rungutan ibu anda yang... Klik di sini untuk terus membaca

SEJAK akhir-akhir ini topik inflasi meniti di bibir banyak pihak kerana ia memberikan kesan besar kepada kehidupan kita semua.

Sebenarnya, masalah inflasi ini sudah berlaku sejak lama dahulu. Pernahkah anda mendengar rungutan ibu anda yang mengeluh harga barang naik setiap kali pulang dari pasar?

Paling mudah untuk memahami inflasi ialah dahulu semasa kita ke sekolah 40 sen sudah mencukupi dan cukup kenyang dengan sepinggan nasi lemak dan segelas air.

Tetapi anak-anak kita sekarang memerlukan sebanyak RM3 sehari untuk membolehkan mereka membeli sepinggan nasi lemak berharga RM2 dan segelas air yang berharga RM1.

Ini adalah sebahagian daripada sistem atau keadaan asas ekonomi yang perlu dilalui kerana harga barang dipengaruhi penawaran dan permintaan.

Menurut Kamus Online Cambridge, definisi inflasi ialah ‘peningkatan harga yang berterusan secara umum’.

Kadar inflasi pula ialah ukuran bagi kadar peningkatan harga dalam bentuk peratusan.

Sebagai contoh, kadar inflasi pada tahap 2.5 peratus membawa maksud bahawa perbelanjaan purata individu atas barangan utama dan perkhidmatan telah meningkat pada kadar 2.5 peratus sepanjang tempoh setahun.

Berdasarkan sejarah negara kadar inflasi yang paling tinggi yang pernah dialami ialah pada tahun 2008 iaitu sebanyak 8.5 peratus.

Angka tersebut merupakan yang paling tinggi dalam tempoh 27 tahun dan berpunca daripada peningkatan harga makanan dan bahan api.

Pada ketika ini, kadar inflasi di Malaysia adalah antara 4 hingga 4.5 peratus. Walaupun terdapat banyak rungutan daripada pelbagai pihak namun buat masa ini kedudukan inflasi negara masih rendah. Jika dibandingkan dengan negara lain, kadar inflasi mereka jauh lebih tinggi dan menakutkan.

Menurut laporan dan data Trading Economics pada tahun 2022, Lubnan menjadi negara yang mencatatkan kadar inflasi paling tinggi di dunia iaitu sebanyak 211.43 peratus setahun.

Peningkatan itu berlaku kerana berlaku peningkatan harga rumah dan peralatan sebanyak 110.13 peratus, pengangkutan (515.36 peratus), peralatan rumah (182.35 peratus) dan kesihatan (468.27 peratus).

Sudan pula berada pada kedudukan kedua mencapai inflasi sebanyak 192.2 peratus pada Mei 2022 berbanding pada Julai 2021 yang mencatatkan angka lebih tinggi iaitu sebanyak 422.78 peratus.

Masalah inflasi di negara itu berpunca daripada krisis ekonomi ditambah dengan gejolak politik di negara tersebut.

Tempat ketiga ialah Zimbabwe yang mencatatkan sebanyak 191.6 peratus namun pernah mencatatkan inflasi paling tinggi dalam sejarah iaitu 837.53 peratus pada Julai 2020.

Keempat ialah Venezuela sebanyak 167.15 peratus uniknya negara tersebut merupakan sebuah negara yang kaya dengan minyak.

Tempat kelima ialah Syria yang mencatatkan kadar inflasi sebanyak 139.46 peratus.

Perang saudara yang meletus pada Mac 2011 telah menyebabkan negara itu berada dalam konflik berpanjangan dan menjejaskan kehidupan rakyat.

Secara keseluruhannya, negara-negara yang berdepan dengan kadar inflasi yang amat tinggi ini adalah negara yang berhadapan dengan masalah ketidakstabilan dari segi ekonomi dan politik.

Persoalan yang paling penting ialah, adakah Malaysia akan berdepan dengan masalah yang sama dengan negara tersebut walaupun kadar inflasi negara masih rendah.

Pengajaran pahit yang kita lalui sepanjang tempoh penggal pilihan raya yang lalu memang hampir sahaja menjadi kita sebuah negara gagal, namun kematangan rakyat Malaysia telah menghalang ia daripada berlaku.

Walaupun bertukar tiga perdana menteri dan kerajaan, namun tiada sebarang kekacauan yang berlaku dalam negara, sebaliknya rakyat memilih untuk kekal bertenang.

Selepas pasca Pilihan Raya Umum ke-15, menyaksikan sebuah kerajaan perpaduan telah dibentuk dengan semangat untuk memastikan kestabilan, keharmonian dan kebersamaan untuk memulihkan ekonomi negara.

Bagaimanapun, masih ada pihak yang tidak berpuas hati dan terus berusaha untuk menukar kerajaan dengan pelbagai ‘langkah’ diatur.

Sekali lagi, apa sahaja usaha yang perlu dilakukan oleh orang politik, kita sebagai rakyat perlu terus kekal bertenang dan memilih untuk berfikiran matang.

Sebaiknya, berilah peluang kepada kerajaan yang ada pada hari ini dan barisan pembangkang terus berusaha untuk menunjukkan bahawa mereka adalah pilihan rakyat Malaysia untuk penggal yang seterusnya.

* Junhairi Alyasa adalah Pengarang Berita Sinar Harian

Klik di sini untuk terus membaca