DUA minggu lalu, ada rakan kurang setuju apabila saya menulis mengenai keburukan multi-tasking. Menurut mereka, kebolehan multi-tasking kini dicari oleh majikan. Ramai yang silap faham bahawa ia berbeza daripada multi-skill atau pelbagai... Klik di sini untuk terus membaca

DUA minggu lalu, ada rakan kurang setuju apabila saya menulis mengenai keburukan multi-tasking. Menurut mereka, kebolehan multi-tasking kini dicari oleh majikan.

Ramai yang silap faham bahawa ia berbeza daripada multi-skill atau pelbagai kemahiran. Ia adalah ciri-ciri pekerja yang kian diperlukan.

Bagaimanapun, seseorang yang mempunyai kepelbagaian kemahiran juga tidak akan menjadi pekerja berkesan seandainya dia mengamalkan multi-tasking dalam setiap tugasannya.

Meskipun begitu, multi-tasking boleh dilakukan sekiranya terpaksa seperti seorang petugas pendaftaran di sesebuah seminar. Dia perlu mengalu-alukan peserta, mendaftar nama mereka, memberi tag dan pada waktu sama menjawab telefon dan mesej.

Apabila terdapat 10 peserta sedang beratur, multi-tasking wajib menjadi pendekatan dalam kerjanya. Begitu juga apabila seorang ibu mahu bersiap-siap pergi bekerja. Dia perlu menyuap anak kecilnya makan, mengemas buku tadika anak sulungnya sambil menyarung tudung di kepalanya. Tiga kerja dalam satu masa.

Maknanya, kerja multi-tasking hanya sesuai untuk kerja yang memerlukan pergerakan fizikal. Ia tidak sesuai untuk kerja-kerja berfikir. Justeru, apabila Profesor Cal Newport, seorang penulis dan pakar sains komputer dari Universiti Georgetown, New York memberi pandangan bahawa multi-tasking tidak seharusnya menjadi budaya kerja utama, ia disarankan setelah beliau membuat kajian mengenainya.

Hasilnya, Cal Newport memperkenalkan pendekatan bekerja yang diistilahkan sebagai deep work - pendekatan bekerja yang lebih berkesan. Secara ringkasnya, deep work adalah tumpuan untuk satu-satu tugas dalam waktu yang lama.

Untuk lebih berkesan, seseorang tu perlu mengetepikan segala gangguan yang mengalih perhatian. Apabila sesuatu kerja itu diberi tumpuan pada waktu lama, maka kreativiti dan produktiviti akan meningkat.

Membuat kertas kerja, tesis, mereka bentuk, mengarang artikel mahupun novel atau membuat laporan adalah antara kerja yang memerlukan deep work. Ia tidak praktikal dilakukan secara fragmen, malah hingga mengambil masa hingga berminggu-minggu untuk menyudahkannya.

Jika ia ditangani secara berdikit-dikit, masa keseluruhan yang diambil sebenarnya akan lebih panjang. Malah, menjadi parah apabila ia adalah satu bentuk procrastination atau bertangguh.

Inilah masalah sebilangan besar kita hari ini. Ramai yang tahu membuat kerja-kerja yang memerah fikiran tetapi mengambil masa terlalu lama untuk menyudahkannya kerana menggunakan pendekatan multi-tasking, bukannya deep work.

Cabaran kita yang melakukan deep work pada hari ini juga kerap terperangkap dengan distraction economy. Ia adalah istilah untuk aktiviti meningkatkan jualan dengan cara mengalih perhatian pelanggan. Pendekatan pemasaran melalui media sosial hari ini amat berjaya.

Apabila kita melayari internet untuk mendapatkan maklumat, kita sering diterjah dengan pelbagai iklan pop-up mahupun pautan yang mengalih perhatian hingga kita tenggelam dibawa arus siber dan payah untuk kembali. Malangnya, distraction economy sudah diterima sebagai salah satu pendekatan dalam industri pemasaran.

Justeru, mengurangkan gangguan menjadi isu utama kita hari ini. Untuk memberi tumpuan dan menghasilkan kerja berkualiti, kita perlu tumpukan perhatian dengan cara menghentikan gangguan.

Ia sukar jika kita terpaksa menggunakan internet bagi mendapatkan bahan rujukan. Yang boleh kita lakukan adalah melatih diri untuk fokus kepada apa yang ingin dilakukan.

Waktu khusus untuk melakukan kerja, merancang tempoh masa diperlukan dan dibantu dengan ruang kerja kondusif akan mendorong seseorang menyudahkan tugasannya.

Ramai dalam kalangan mereka yang berjaya seperti Carl Jung, seorang ahli psikologi tersohor; Bill Gates, pengasas Microsoft dan Malcom Gladwell penulis terkenal dengan bukunya Blink! menggunakan pendekatan deep work dalam kerjaya mereka.

Cabaran kita pada hari ini ialah fokus. Seandainya kita jarang mengamalkan bentuk kerja yang memerlukan deep work ia akhirnya akan menurunkan produktiviti kita sendiri. Minda kita akan lemah dan mencari jalan mudah dan cetek untuk menyudahkan kerja. Maknanya, kita cepat letih bila menangani kerja-kerja yang memerlukan kita memerah otak.

Ia akhirnya akan menyukarkan kita mempelajari kemahiran, pendekatan dan juga aplikasi baharu yang sentiasa menghujani silih berganti. Kita akhirnya tidak boleh berpandangan jauh tetapi memadai sekadar berfikiran singkat, asal apa yang ada. Fikiran begini akan meletakkan kita kepada situasi kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Ia menjadikan kita stres hingga melemahkan mental dan fizikal.

Ayuh kita jauhkan pelbagai hal-hal sampingan yang sentiasa mengalih perhatian daripada memikir dan bertindak seperti sepatutnya.

Perbanyakkan masa untuk melakukan kerja-kerja deep work seandainya kita mahu berfikiran dan melangkah jauh. Mulalah berlatih untuk menumpukan perhatian, barangkali dengan lebih khusyuk dalam solat kita!

* Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian

Klik di sini untuk terus membaca