SHAH ALAM - Pembersihan dalam UMNO perlu dilakukan secara berfasa bagi memastikan tiada ‘musuh dalam selimut’ dan ‘musang berbulu ayam’ dalam parti orang Melayu itu.
Penganalisis politik, Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, ia adalah permulaan yang baik buat UMNO tetapi perlu dilakukan secara menyeluruh dan tidak berhenti di situ sahaja.
Katanya, masih terdapat beberapa pihak yang dilihat bertentangan dengan keputusan kepimpinan parti.
Beliau memberi contoh, ketika Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyeru supaya Pilihan Raya Umum ke-15 diadakan pada bulan Mac tahun lepas, namun terdapat kelompok yang membantah.
"Saya kira kali ini masih belum mencukupi, sudah pasti saki bakinya masih lagi ada. Perlu ada fasa seterusnya untuk lakukan pembersihan yang betul,” katanya kepada Sinar Ahad.Dalam pada itu, Awang Azman berkata, UMNO akan menjadi lebih kuat tanpa gangguan daripada orang dalam.
"Tindakan pembersihan itu jelas menunjukkan UMNO betul-betul bersedia untuk pulih dan membersihkan partinya agar menjadi lebih baik.
"Parti tidak memerlukan dua atau tiga nakhoda, hanya satu sahaja. Maksudnya tidak ada pihak yang lebih besar daripada kepentingan parti,” ujar beliau.
Klik di sini untuk terus membaca