HARGA makanan di Thailand didapati lebih tinggi sedikit berbanding di Malaysia iaitu antara RM1 hingga RM2 sahaja.
Bagaimanapun, ia tidak menghalang rakyat Malaysia untuk menikmati makanan di negara tersebut kerana didapati bukan sahaja sedap, malah saiz hidangannya juga lebih besar.
Hasil tinjauan wartawan Sinar Harian di sekitar pekan Golok mendapati, menu yang sering menjadi pilihan utama ialah tomyam diikuti sayur kailan ikan masin, ayam goreng kunyit dan telur dadar.
Sebagai perbandingan, di Rantau Panjang yang jaraknya cuma satu kilometer dari Golok, hidangan tomyam campur bersama seekor udang, hirisan ayam, bebola ikan dan sedikit sayuran dijual dengan harga RM7 semangkuk.
Sementara di Golok, pelanggan dapat menikmati semangkuk tomyam campur mengandungi tiga ekor udang, hirisan sotong, ayam, cendawan dan sayuran dengan harga RM10.
Sayur kailan ikan masin pula dijual dengan harga RM6 sepinggan di Malaysia, manakala di Thailand ialah RM8 dan ayam goreng kunyit RM6 (Malaysia), RM8 (Thailand).
Harga telur dadar sama di kedua-dua lokasi iaitu RM2 bagi seorang makan.
Sebagai perbandingan, kadar tukaran ringgit pada Ahad ialah RM100 bersamaan dengan 771 bath.
Sementara itu, seorang pengunjung dari Kota Bharu, Diyana Zaki, 28, berkata, dia dan rakan-rakannya sanggup mengambil cuti pada hari bekerja untuk datang menikmati makanan di Pekan Golok.
"Kami datang makan di sini setiap bulan, kerana dengan bajet RM100 sudah boleh makan macam-macam makanan yang sedap dari pagi sampai petang.
"Di sini mudah bergerak kerana ada perkhidmatan motosikal sewa dan jarak-jarak kedai tidak jauh,” katanya.Farah Aida Anuar, 32, dari Bachok pula memberitahu, pengalaman pertama kali menjejak kaki dan menikmati hidangan membuatkan dia sanggup datang berulang kali ke pekan Golok.
Selain itu katanya, pelbagai buah-buahan yang dijual serta barangan makanan ringan membuatkan dia rambang mata untuk memilih walaupun nilai ringgit lebih rendah berbanding bath.
"Walaupun ringgit kita rendah, namun ia tidak membebankan. Kita boleh beli macam-macam dengan harga yang masih murah jika dibandingkan dengan negara sendiri,” katanya.
Barangan basah di Thailand lebih murah walaupun ringgit rendah Penduduk Kelantan boleh membeli barangan basah di negara ini dengan harga lebih murah walaupun kadar tukaran ringgit lebih rendah berbanding bath.
Tinjauan Sinar Harian di Pekan Golok di sini pada Khamis mendapati, kadar tukaran RM100 bersamaan 770 bath sekali gus menyaksikan kadar ringgit makin menyusut berbanding sebelumnya.
Bagi memberi gambaran yang lebih jelas, sebanyak lapan barangan basah telah dipilih sebagai petunjuk harga antara Malaysia dengan negara gajah putih itu.
Hasilnya, enam daripada lapan barangan itu lebih murah jika dibeli di negara jiran.
Di Thailand, bawang merah (kecil) dijual dengan harga RM3.50 sekilogram (kg) manakala di Kelantan RM4.65.
Bawang merah (besar) RM4.50 (Thailand), RM5 (Kelantan); cili besar RM8 (Thailand), RM14.65 (Kelantan); kangkung RM4.50 (Thailand), RM7.65 (Kelantan).
Sementara kubis bulat pula RM4.50 (Thailand), RM5 (Kelantan); pisang berangan RM3.60 (Thailand) dan RM6 (Kelantan).
Bagi sawi pula, harganya sama di kedua-dua lokasi iaitu RM4 sekilogram, dan ayam di Kelantan lebih murah jika dibandingkan di Thailand iaitu perbezaannya 80 sen sahaja RM10 di Thailand sementara RM9.20 di Kelantan.
Peniaga sayur yang hanya ingin dikenali sebagai Patimah, 26, berkata, kebanyakan pelanggannya dari Malaysia.
Menurutnya, banyak rakyat Kelantan membeli barangan basah di pekan itu terutamanya pada hari Jumaat.
"Mereka kata walaupun duit Thailand mahal tetapi barangan yang dibeli masih lebih murah berbanding di Malaysia,” katanya.
Ujar Patimah, disebabkan nilai ringgit kini semakin rendah, segala urusan dilakukan menggunakan bath. Dalam pada itu, peniaga kedai makan dari Pasir Mas, Nur Hashimah Mat Noor, 37, berkata, dia sanggup berulang alik ke Golok untuk mendapatkan barangan basah.
"Walaupun beza barangan sekitar 50 sen sehingga RM2 saja, sebagai peniaga kami tetap ambil kira kerana ia menyumbang kepada keuntungan,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca