SHAH ALAM - Pemimpin-pemimpin UMNO yang dipecat dan digantung keahlian oleh parti itu dijangka hanya akur dengan keputusan tersebut buat sementara waktu. Penganalisis Politik Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya (UM), Dr Abdul Muqit... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pemimpin-pemimpin UMNO yang dipecat dan digantung keahlian oleh parti itu dijangka hanya akur dengan keputusan tersebut buat sementara waktu.

Penganalisis Politik Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya (UM), Dr Abdul Muqit Muhammad berkata, apa yang boleh dilakukan ketika ini ialah pemimpin yang dipecat dan digantung membawa perkara tersebut ke mahkamah untuk menentukan sama ada tindakan itu sah atau sebaliknya.

Selain itu, katanya, pemimpin UMNO juga boleh membuat gerakan dalaman sebagai simbol protes seperti yang berlaku dalam Pas sebelum berpecah di mana ada beberapa pemimpin bergerak di bawah Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (Pasma) sebagai desakan dalaman.

"Kalau gerakan dalaman ini menerima sokongan kuat akar umbi, ini satu tamparan hebat kepada Presiden dan pimpinan atasan parti.

"Bawa kes ke mahkamah mungkin akan mengambil proses yang lama, sedangkan tindakan ke atas pemimpin UMNO tersebut dibuat bagi berdepan dengan pemilihan UMNO tak lama lagi.

"Jujurnya saya kata, mereka hanya akan akur dengan keputusan tersebut buat sementara waktu. Mereka tidak ada keberanian dan kemampuan untuk ambil tindakan yang drastik seperti melakukan desakan dalaman,” katanya bagi mengulas apakah jangkaan tindakan balas yang boleh dibuat daripada mereka yang dipecat dan digantung oleh UMNO susulan dakwaan tindakan yang diputuskan itu membelakangi perlembagaan parti.

Penganalisis Politik, Fakulti Ekologi Manusia, UPM, Profesor Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain pula berkata, beliau menjangkakan pemimpin terlibat dengan tindakan UMNO tidak akan mengambil sikap terburu-buru untuk sebarang tindakan termasuk sama ada menyertai parti politik lain.

"Saya menjangkakan pemimpin UMNO yang terlibat mengambil langkah berhati-hati dan tidak mengambil sikap terburu-buru seperti menyertai parti politik lain.

"Rata-rata tidak mahu merayu dan memilih pendekatan selamat walaupun tidak bersetuju dengan cara mereka diambil tindakan oleh UMNO.

"Mereka yang tidak bersetuju mungkin boleh meminta UMNO memberikan penjelasan dan menghantar surat tunjuk sebab kenapa mereka dikenakan tindakan,” ujar beliau.

Klik di sini untuk terus membaca