SHAH ALAM - Kebanyakan makanan yang dihidangkan di Thailand tinggi dengan kandungan garam dan perasa tambahan, monosodium glutamate (MSG) yang boleh memudaratkan kesihatan. Pakar Dietetik daripada Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Kebanyakan makanan yang dihidangkan di Thailand tinggi dengan kandungan garam dan perasa tambahan, monosodium glutamate (MSG) yang boleh memudaratkan kesihatan.

Pakar Dietetik daripada Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr Barakatun Nisak Mohd Yusof berkata, tidak dinafikan masakan Thailand banyak menggunakan bahan-bahan semula jadi seperti daun kesum, serai dan pelbagai jenis herba.

Bagaimanapun ujarnya, dalam masa sama, ia juga turut menggunakan berbagai-bagai jenis bahan tambahan terproses seperti pes makanan, sos ikan, sos tiram, sos labu dan kicap bagi melazatkan makanan.

"Kita tahu makanan-makanan Thailand memang sedap, namun masakannya terdedah dengan kandungan garam yang tinggi dan banyak menggunakan bahan perasa.

"Sos-sos ini kebiasaannya mempunyai kandungan gula dan garam yang tinggi untuk memanjangkan jangka hayat, di samping MSG sebagai penambah perasa yang sukar untuk kita sebagai pembeli kawal penggunaannya.

"Keadaan ini berisiko menyebabkan pengambilan MSG melebihi daripada penggunaan yang diperlukan oleh individu, sedangkan kita hanya dibenarkan mengambil garam tidak melebihi satu sudu kecil sehari,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Sinar Harian pada Isnin melaporkan rakyat Malaysia gemar menikmati makanan di Thailand kerana didapati bukan sahaja sedap, malah saiz hidangannya juga lebih besar.

Beliau yang juga merupakan Timbalan Dekan Akademik (Sains Kesihatan) dan Hal Ehwal Pelajar Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, UPM itu berkata, makanan yang dijual di negara Gajah Putih berkenaan difahamkan turut mengandungi bahan aditif.

Menurutnya, bahan aditif merupakan bahan kimia yang ditambah ke dalam makanan dalam kuantiti yang sedikit untuk menghasilkan kesan teknologi khusus.

"Kesan-kesan tersebut termasuk untuk mengekalkan kualiti khasiat, memanjangkan hayat simpanan, menjadikan sajian lebih menarik, membantu dalam pemprosesan, pembungkusan atau penyimpanan makanan.

"Aditif makanan yang lazim digunakan termasuklah agen pengawet, antioksidan, pewarna dan perisa. Bahan-bahan tersebut telah diuji keselamatannya dan dikawal oleh undang-undang makanan,” ujarnya.

Dalam masa sama, beliau menasihatkan agar rakyat Malaysia lebih berhati-hati dengan penggunaan bahan pewarna dalam makanan di Thailand.

"Begitu juga dengan penggunaan pewarna dan serbuk air teh. Air ini biasanya sangat baik untuk badan, namun teh yang mempunyai bahan kimia berlebihan mungkin akan memberi impak kesihatan yang kita tidak ketahui.

"Kita sedia maklum teh yang dihasilkan mempunyai kandungan antioksidan yang tinggi dan dapat memberi faedah kepada tubuh, tetapi teh segera yang terlalu kuat warnanya, kita tidak tahu kesannya kepada kesihatan,” katanya.

Tahap keselamatan makanan di Malaysia lebih terjamin

Sementara itu, rakyat Malaysia yang menjamu selera di Thailand dinasihatkan agar mengutamakan aspek kebersihan dan keselamatan makanan yang dibeli di negara berkenaan.

Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Nur Asyikin Aminuddin berkata, kedua-dua aspek berkenaan perlu diberi penekanan agar hidangan yang dimakan di negara itu tidak mendatangkan kemudaratan terhadap kesihatan.

"Kita tidak pasti dengan tahap keselamatan makanan di negara jiran, selain itu, isu kebersihan dan halal juga turut menjadi persoalan.

"Tahap keselamatan makanan di Malaysia lebih terjamin jika nak dibandingkan dengan negara jiran.

"Ini kerana Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah bertungkus lumus untuk memastikan semua pengendali makanan di Malaysia menjalani kursus pengendalian makanan yang selamat,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Sinar Harian pada Isnin melaporkan rakyat Malaysia gemar menikmati makanan di Thailand ekoran masakan di negara itu bukan sahaja sedap, malah saiz hidangannya juga lebih besar berbanding di negara ini.

Mengulas lanjut, Nur Asyikin turut mempersoalkan sama ada makanan yang dijual di sempadan Thailand boleh dijamin keselamatannya atau tidak.

"Sukar untuk kita pastikan sama ada pekerja makanan di restoran atau kedai makan di Thailand telah mendapatkan suntikan tifoid atau tidak.

"Sedangkan kita tahu di Malaysia, setiap pengendali makanan wajib mengambil suntikan tersebut bagi mengelakkan penularan demam kepialu melalui kaedah penyediaan makanan,” ujar beliau.

Info:

Penyedap Makanan Thailand

1. Kicap bukit

Sering digunakan ketika memasak sayur goreng.

2. Kicap ikan

Berfungsi sebagai pengganti garam dalam masakan Thai.

3. Sos labu

Penyedap masakan daging merah atau paprik.

4. Pes cili Thai

Bahan wajib yang diguna pakai dalam tomyam dan perapan daging.

5. Gula kabung Thai

Antara bahan penting dalam penyediaan kerabu.

6. Jeruk bawang putih

Sedap dimakan dengan nasi kerabu sebagai penambah perasa dalam makanan.

7. Jeruk ikan tenggiri

Digunakan dalam penyediaan kailan ikan masin atau nasi goreng ikan masin.

8. Tepung tempura Thai

Hidangan sotong atau udang goreng tepung menggunakan tepung jenis ini sebagai bahan asas.

Klik di sini untuk terus membaca