[INFOGRAFIK] Tahun 2022 menyaksikan banyak negara terkesan dengan kenaikan mendadak kadar inflasi. Ini kerana situasi tersebut telah menyebabkan kos sara hidup di seluruh dunia meningkat, susulan kenaikan harga barang. Hal tersebut juga... Klik di sini untuk terus membaca

[INFOGRAFIK] Tahun 2022 menyaksikan banyak negara terkesan dengan kenaikan mendadak kadar inflasi.

Ini kerana situasi tersebut telah menyebabkan kos sara hidup di seluruh dunia meningkat, susulan kenaikan harga barang.

Hal tersebut juga menyebabkan ramai yang mengeluh kerana perbelanjaan harian mereka semakin bertambah dan membebankan.

Lebih teruk, kadar inflasi yang meningkat secara mendadak itu telah menyebabkan kadar inflasi di beberapa negara mencecah dua digit.

Malah, terdapat juga beberapa buah negara yang berdepan dengan kenaikan kadar inflasi sehingga tiga digit.

Menurut laporan laman web visualcapitalist.com, sebanyak 43 peratus negara di seluruh dunia berdepan dengan peningkatan kadar inflasi lebih 10 peratus pada 2022.

Pakar Ekonomi Jabatan Penyelidikan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Philip Barrett menjelaskan, punca kenaikan kadar inflasi yang berlaku pada hari ini salah satunya didorong oleh kenaikan harga makanan secara mendadak mengatasi kadar infasi sebelumnya dari 2016 hingga 2020.

Menurutnya, permintaan terhadap makanan yang naik secara mendadak selepas pembukaan semula pasaran ekonomi pasca Covid-19 pada tahun lalu telah melonjakkan harga makanan di serata dunia.

Di samping itu, kenaikan kadar inflasi juga berpunca daripada kenaikan harga minyak mentah dunia, katanya.

Jelasnya, senario tersebut berkait rapat dengan peningkatan kos pengangkutan bagi memenuhi penghantaran produk makanan, sekali gus meingkatkan sekali harga pengguna.

Di Malaysia, kadar inflasi juga tidak terkecuali daripada meningkat naik sehingga menyebabkan kenaikan harga barang.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), kadar inflasi bagi keseluruhan 2022 meningkat 3.3 peratus berbanding 2.5 peratus pada tahun sebelumnya.

Bagaimanapun, Kementerian Kewangan (MOF) dalam satu kenyataan pada tahun lalu menjelaskan bahawa inflasi Malaysia masih terkawal, malah lebih rendah berbanding negara lain dalam ASEAN yang mana jangkaan itu sejajar dengan unjuran IMF.

Dalam pada itu, DOSM melaporkan turut kadar inflasi bulanan Malaysia mereda kepada 3.8 peratus pada Disember 2022 berbanding 4.0 peratus pada November 2022.

DOSM menjelaskan, situasi tersebut didorong oleh kenaikan perlahan kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol.

Terdahulu, Malaysia mencatatkan inflasi 4.5 peratus pada Oktober 2022.

Kadar tersebut kemudiannya menurun kepada 4.0 peratus pada November tahun sama.

Untuk rekod, Rizab Persekutuan menyasarkan kadar inflasi terbaik untuk ekonomi ialah 2 peratus berdasarkan harga indeks pengguna.

Segelintir pakar ekonomi percaya kadar inflasi yang kecil itu mampu memacu perkembangan ekonomi dengan lebih baik.

Klik di sini untuk terus membaca