SHAH ALAM - Inisiatif mewartakan Akta Pendanaan Politik adalah langkah tepat dalam menambah baik pengurusan organisasi parti politik negara ini.
Ketua Pegawai Eksekutif di sebuah syarikat swasta, Wan Azrain Wan Adnan berkata, langkah dan usaha pelbagai pihak membawa agenda mewartakan Akta Pendanaan Politik sememangnya tindakan tepat terutama dalam mengawal sumber dana yang diperoleh parti politik.
Beliau berkata, isu pendanaan politik di Malaysia masih menjadi suatu perkara yang kabur ketika ini, malah kekal ‘diselubungi misteri’ kerana pelbagai andaian serta tuduhan dilemparkan terhadap hasil pendanaan parti.
Kata beliau, ekoran sumber pendanaan sesebuah parti yang diperoleh itu kabur, sehingga ada terma political economy yang sering digunakan untuk menggambarkan hubungan antara politik dan ekonomi.
Jelasnya, terdapat organisasi atau individu yang mendapat manfaat projek dikurniakan oleh kerajaan semasa, maka pihak tersebut akan membalas kembali jasa tersebut dengan memberi sumbangan dana kepada parti politik mahupun orang politik yang terlibat.
"Selain mewartakan Akta Pendanaan Politik, akta itu juga mestilah memiliki hukuman tegas kepada pesalah agar ia dapat mencegah amalan salah sekali gus meningkatkan integriti badan politik,” katanya kepada Sinar Premium pada Khamis.
Mengulas isu panas melibatkan pembekuan akaun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Azrain berkata, tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu dilihat tepat pada masanya dan harus dijadikan contoh betapa Akta Pendanaan Politik perlu dilaksanakan dengan segera.
Menurutnya, bagi mengatasi sebarang spekulasi dan tuduhan tidak berasas, maka sesebuah parti perlu memastikan sumber dana diperoleh adalah bersih dan akta yang perlu diwartakan itu adalah jalan penyelesaian tepat.
Sementara itu, Bendahari Majlis Pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Melaka, Datuk Gue Teck turut bersetuju agar Akta Pendanaan Politik diwartakan demi memastikan elemen integriti dapat ditegakkan.
Ketua Cabang Keadilan Tangga Batu itu berkata, pewartaan akta tersebut penting bagi memastikan wang yang diterima setiap parti adalah bersih dan dapat dikesan sumber pemberiannya.
Jelas beliau lagi, kebanyakan negara telah mewujudkan akta seumpama itu bagi membendung perbuatan dan amalan salah, malah mendapat pandangan positif daripada semua pihak.
"Akta itu juga dapat memastikan semua parti dapat bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) atau Pilihan Raya Negeri (PRN) dengan adil dan sama rata, tidak ada mana-mana parti mempunyai kelebihan hanya disebabkan memiliki dana yang besar,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca