KUALA LUMPUR - Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi bayangan mungkin tidak akan mempertahankan jawatan tersebut pada Pemilihan UMNO kali ini sekiranya terdapat calon muda yang lebih layak dan mampu memperkukuhkan... Klik di sini untuk terus membaca
KUALA LUMPUR - Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi bayangan mungkin tidak akan mempertahankan jawatan tersebut pada Pemilihan UMNO kali ini sekiranya terdapat calon muda yang lebih layak dan mampu memperkukuhkan kedudukan parti.

Bekas Perdana Menteri itu bagaimanapun berkata, banyak perkara perlu dipertimbangkan terlebih dahulu sebelum beliau membuat keputusan tersebut termasuk senarai nama calon yang akan bersaing merebut jawatan berkenaan.

"Saya pun belum tahu siapa bakal menawarkan diri untuk bertanding jawatan naib presiden. Tapi kalau ada muka baharu yang boleh menjamin beliau dapat mengembalikan kekuatan UMNO, mungkin saya akan memberi laluan kepadanya.

"Saya mahu tengok siapa mahu bertanding, apa manifesto dan pembaharuan mahu dibawakannya ke dalam parti. Kalau dia boleh bawa apa yang lebih baik daripada apa yang saya mahu bawakan, saya akan memberi laluan kepada muka baharu berkenaan,” katanya dalam wawancara eksklusif bersama Sinar Harian di sini pada Jumaat.

Kerusi naib presiden akan menjadi tumpuan pada Pemilihan UMNO, Mac ini apabila jawatan presiden dan timbalan presiden mungkin tidak dipertandingkan.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata, Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) masih berfungsi dan beliau kekal sebagai pengerusinya walaupun bukan lagi Perdana Menteri dan tidak memegang sebarang jawatan dalam kabinet Kerajaan Perpaduan.

Beliau sehubungan itu mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana bersetuju supaya YKM terus bergerak aktif bagi membantu anak-anak yatim di negara ini.

"Kita akan menjaga dan memberi pendidikan sewajarnya sehingga anak-anak ini menamatkan pelajaran di peringkat institusi pengajian tinggi (IPT). Itu adalah tanggungjawab, sebab itu saya minta kepada Perdana Menteri supaya yayasan ini dikekalkan kerana ia umpama anak saya.

"Perdana Menteri bersetuju mengekalkan YKM tanpa ditukarkan namanya dan akan berfungsi seperti biasa,” jelas beliau.

YKM yang dilancarkan Ismail Sabri pada 23 Oktober 2021 ketika menjadi Perdana Menteri merupakan sebuah institusi bukan bersifat keuntungan, ditubuhkan khusus untuk membantu anak-anak yang kehilangan ibu bapa atau penjaga akibat pandemik Covid-19, kemalangan atau bencana alam sehingga mencapai usia 18 tahun.Sehingga kini, YKM sudah memberikan bantuan kepada lebih 5,000 anak-anak yatim di seluruh negara. Klik di sini untuk terus membaca