SHAH ALAM - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) memberi peringatan tegas kepada warga asing bahawa mereka akan berdepan tindakan undang-undang sekiranya tidak menghormati kedaulatan negara. Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) memberi peringatan tegas kepada warga asing bahawa mereka akan berdepan tindakan undang-undang sekiranya tidak menghormati kedaulatan negara.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, warga asing yang masuk ke Malaysia tertakluk kepada undang-undang negara dan tindakan tegas akan dikenakan termasuklah tinggal melebihi tempoh masa yang ditetapkan oleh Perlembagaan.

Katanya, setiap warga asing yang memasuki negara ini perlu mematuhi dan menghormati undang-undang negara.

"Imigresen akan terus memburu mereka yang masuk dan tidak pulang pada masa yang ditetapkan. Apabila berjaya ditahan, mereka akan didakwa, dipenjarakan dan seterusnya diusir pulang,” katanya kepada Sinar Premium.

Tegas beliau, bagi mereka yang melanggar peraturan ini undang-undang yang tersedia akan pasti menghukum pesalah kerana tidak menghormati kedaulatan negara.

"Mereka (pesalah warga asing) akan dikategorikan sebagai imigran larangan di bawah Seksyen 8 Akta Imigresen dan dilarang memasuki Malaysia seumur hidup,” katanya.

Dalam pada itu Khairul Dzaimee menjelaskan, seramai 22,560 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan atas pelbagai kesalahan di seluruh negara pada tahun lalu.

Katanya, statistik tangkapan sehingga 30 Disember itu dilaksanakan hasil pelaksanaan 7,819 operasi dan pemeriksaan terhadap 113,119 individu.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati tangkapan tertinggi PATI membabitkan warga Indonesia iaitu seramai 9,709 orang, diikuti Myanmar (3,627), Bangladesh (2,845), Thailand (1,494), India (1,462), Filipina (1,164), Pakistan (655), Nepal 437), Kemboja (367), Vietnam (342) dan bakinya adalah dari lain-lain negara.

"Selain itu, kita turut menahan seramai 343 majikan untuk siasatan melindungi dan menggaji warga asing.

"Majikan itu terdiri daripada 330 warga tempatan dan selebihnya warga asing termasuklah Pakistan, Bangladesh, India dan Filipina,” katanya.

Beliau menjelaskan, pihak imigresen turut menerima seramai 14,318 PATI hasil serahan oleh agensi penguat kuasa lain dan penahanan di pintu masuk.

Katanya lagi, sepanjang tahun lalu juga, imigresen telah memeriksa seramai 5,561 Pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

"Imigresen juga akan mengambil tindakan tegas ke atas pemegang kad UNHCR yang didapati bersalah dan melanggar apa jua undang-undang negara.

"Sebagai golongan yang diberi kebenaran untuk menetap sementara sebelum dihantar pulang atau ditempatkan di negara ketiga, mereka seharusnya menghormati perundangan negara dan masyarakat tempatan.

"Tindakan pengusiran akan diambil sekiranya mereka didapati bersalah oleh mahkamah,” ujarnya.

Untuk rekod katanya, jumlah tangkapan PATI tertinggi adalah pada tahun 2019 dengan catatan seramai 51,300.

Manakala katanya, pada 2020 merekodkan sejumlah 22,671 tangkapan, sementara tahun 2021 pula dengan 12,462 penahanan.

Klik di sini untuk terus membaca