SHAH ALAM - Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) mendakwa nafsu politik untuk mendapat kuasa dalam kerajaan menjadi punca Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir membawa parti itu keluar daripada Gerakan Tanah Air (GTA) lalu meninggalkan perjuangan politik bapanya, Tun Dr Mahathir Mohamad pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Presidennya, Datuk Dr Ibrahim Ali berkata, keputusan Mukhriz dan majoriti majlis pimpinan Pejuang keluar GTA atas alasan mereka kalah teruk pada PRU15 sebenarnya membuktikan mereka tidak teguh berpegang niat menyatupadukan umat Melayu Islam di negara ini.
Ujarnya, nafsu politik untuk mendapat kuasa dan takut ‘mati kehausan’ juga menyebabkan Mukhriz sanggup meninggalkan bapanya sendiri dengan mereka dikhabarkan sedang memohon menyertai koalisi Pakatan Harapan (PH).
"Mereka ini ingat bila masuk bertanding pilihan raya akan terus menang dan dapat tubuhkan kerajaan. Mereka rasa semua akan dapat jawatan. Rupa-rupanya inilah nafsu yang tersimpan di lubuk hati mereka dan tidak teguh berpegang kepada niat menyatupadukan umat Melayu di negara ini.
"Mengikut khabar berita, mereka yang bawa keluar Pejuang daripada GTA sebab mahu memohon menyertai PH. Mukhriz adalah ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) dari Kedah, atas alasan apa mahu sertai PH?” katanya kepada Sinar Premium pada Sabtu.
Beliau berkata demikian bagi mengulas tindakan Dr Mahathir yang juga Pengerusi GTA bertindak keluar Pejuang bersama 12 pemimpin parti berkenaan pada Jumaat.
Di sebalik keputusan mengejutkan Pejuang untuk menyertai PH, Ibrahim tetap mendoakan semoga koalisi menguasai Kerajaan Perpaduan itu dapat menerima Pejuang sebagai salah satu anggota parti komponennya.
"Tapi janganlah layan (Pejuang) macam anak tiri sama seperti Muda (Ikatan Demokratik Muda). Walaupun jadi sebahagian parti dalam kerajaan baharu, adakalanya (Muda) bercakap sendiri.
"Pejuang juga jangan sampai jadi ‘yang dikejar tidak dapat, yang dikendong berciciran’ bila bersama PH kelak. Tidak berbaloi maruah tergadai tetapi apa pun tidak dapat,” tegasnya.
Klik di sini untuk terus membaca