[INFOGRAFIK] Sebanyak 80 peratus rakyat di negara ini didapati bimbang akan terbeban dengan pembelian barang keperluan harian.
Angka tersebut diperoleh hasil daripada kaji selidik Tinjauan Rakyat Malaysia: 100 hari Pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Perpaduan.
Kaji selidik melibatkan seramai 35,077 responden itu turut menyenaraikan beberapa kebimbangan lain yang dirasai mereka.
Antaranya ialah simpanan kewangan, bebanan hutang dan pinjaman, kadar upah yang rendah dan pembiayaan pendidikan isi rumah.
Lima perkara tersebut merupakan kembimbangan terbesar yang sedang dirasai oleh rakyat Malaysia pada ketika ini berhubung isu negara dan keprihatinan rakyat.
Kaji selidik yang dikendalikan oleh firma penyelidikan 02 Malaysia itu dijalankan selama 10 hari bermula dari 6 Februari 2023.
Ia melibatkan kolaborasi dengan media tempatan terdiri daripada Sinar Harian, Astro Awani, The Star, Sin Chew Daily dan Malaysia Nanban.
Justeru, responden yang mengambil bahagian di dalam kaji selidik itu mengharapkan agar pemimpin negara pada ketika ini meyelesaikan segera beberapa isu penting yang menyumbang kepada kebimbangan tersebut.
Hasil kaji selidik mendapati kos sara hidup, harga barang dan inflasi merupakan isu utama yang menjadi perhatian.
Sebanyak 80 peratus rakyat di negara ini memilih isu tersebut sebagai fokus utama yang perlu ditangani segera.
Isu lain turut menjadi pilihan ialah pendidikan yang mencatat 56 peratus, peluang pekerjaan (53 peratus), kesihatan (52 peratus) dan kestabilan politik (49 peratus).
Sementara itu, sebanyak 37.5 peratus rakyat di negara ini melihat situasi ekonomi negara bertambah baik.
Sebanyak 23.4 peratus pula melihatnya tiada perubahan manakala 39 peratus menilainya bertambah buruk.
Dapatan tersebut diperoleh berdasarkan soalan pandangan rakyat Malaysia terhadap situasi ekonomi negara dari Disember hingga Februari 2023.
Bagi keadaan semasa negara pula, sebanyak 44.7 peratus rakyat melihat ia berada dalam keadaan lemah.
Hanya 27.8 peratus melihatnya kuat manakala 27.4 peratus pula menilainya tidak kuat mahupun lemah.
Dalam pada itu, kaji selidik tersebut turut menilai pandangan rakyat berhubung hala tuju negara ini.
Sebanyak 45.1 peratus rakyat melihat negara kita berada di landasan yang betul manakala 24.8 peratus pula tidak pasti dengan hala tuju negara.
Sementara itu, sebanyak 30 peratus melihat Malaysia berada di landasan yang tidak betul.
Kaji selidik Tinjauan Rakyat Malaysia: 100 hari Pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Perpaduan terbahagi kepada empat bahagian iaitu demografi; isu negara dan keprihatinan rakyat; keadaan semasa dan ekonomi negara serta skor pemimpin dan institusi.
Ia melibatkan responden pelbagai usia dari 18 tahun hingga 60 tahun dan ke atas.
Mereka ini datang dari lima zon penempatan berbeza yang terdiri daripada utara, selatan, pantai timur, pantai barat dan Borneo.
Klik di sini untuk terus membaca