PASIR PUTEH - Penduduk di Jalan Yaakob Samba, Wakaf Lanas di sini mendedahkan sudah empat tahun terpaksa hidu bau busuk dan menatap pemandangan jijik disebabkan tapak pembuangan sampah haram yang wujud di kawasan itu.
Penduduk yang ingin dikenali sebagai Yahya, 69, berkata, perbuatan membuang sampah di kawasan yang tidak diwarta itu dipercayai dilakukan oleh orang luar.
"Kebetulan kawasan itu bersemak-samun, jadi ada pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan dengan membuang sampah di situ.
"Semakin hari, ia bertambah teruk sehingga mendatangkan pelbagai masalah kepada penduduk,” katanya kepada Sinar Harian.
Pesara kerajaan itu memberitahu, pihak berkuasa tempatan (PBT) telah pun mengambil tindakan dengan mengangkut kesemua sampah tersebut dan dibuang ke tempat sepatutnya pada Januari lalu.
Bagaimanapun, katanya, masalah itu tidak selesai kerana ia masih berulang sehingga sekarang.
Bagi peniaga kedai makan yang ingin dikenali sebagai Faridah, 56, masalah itu disedari sejak tahun 2020 lagi.
Dia memberitahu kebanyakan yang datang membuang sampah di situ adalah orang luar.
Katanya, sudah beberapa kali aduan dibuat selain alternatif diambil penduduk setempat untuk menangani isu itu tetapi sampai ia masih berulang.
"Semua ini disebabkan sikap individu yang pentingkan diri. Bila seorang buat, yang lain tiru untuk mudahkan kerja,” katanya.
Sementara itu, Ketua Unit Perlesenan dan Kesihatan Persekitaran Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP), Mohd Haqqul Mubin Othman ketika dihubungi mengesahkan menerima maklumat mengenai masalah tersebut dan telah mengambil tindakan pada 17 Januari lalu.
Ujarnya, tindakan itu melibatkan kerja-kerja membersihkan kawasan tersebut dengan membawa keluar sampah-sampah berkenaan.
"MDPP berharap orang ramai tidak lagi membuang sampah di kawasan yang tidak diwarta dan sama-sama menjaga kebersihan,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca