TANGGAL 11 Mac adalah tarikh penting UMNO yang mengadakan mesyuarat perwakilan dan pemilihan sayap secara serentak di seluruh negara bagi memilih jawatankuasa Wanita, Pemuda dan Puteri di peringkat bahagian dan pusat sesi 2023/2026.
Bagi kebanyakan pemerhati politik, pemilihan kali ini dianggap sangat kritikal kerana memberi gambaran hala tuju UMNO bagi tempoh tiga tahun akan datang.
Tidak hanya ahli, pengundi turut memerhati apakah yang bakal berlaku sewaktu pemilihan nanti kerana dijangka memberi petunjuk sama ada parti keramat Melayu itu kekal positif melakukan perubahan atau mengambil langkah mundur untuk terus selesa dalam kepompongnya.
Secara keseluruhannya, seramai 381 calon layak bertanding pada Pemilihan UMNO sesi 2023/2026 di peringkat pusat.
Bagi persaingan di peringkat sayap, Wanita UMNO mencatatkan sebanyak 71 pencalonan, 140 pencalonan bagi Pemuda dan 55 calon di peringkat Puteri, membabitkan jawatan pengerusi tetap, timbalan pengerusi tetap, ketua, naib ketua dan Exco.
Persaingan bagi Pemuda UMNO pula dianggap paling hangat dengan jumlah pencalonan tertinggi, menunjukkan sudah ramai berani menawarkan diri mencuba, mempamerkan diri dan bertanding secara sihat.
Malah, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU) 2023, Tan Sri Shahrir Ab Samad sebelum ini menyifatkan bahawa pertandingan berkenaan ada signifikan tersendiri apabila ramai dalam kalangan pemimpin muda yang tawarkan diri.
Pertandingan empat penjuru jawatan Ketua Pemuda UMNO juga dianggap sengit babitkan bekas Timbalan Menteri Kewangan merangkap Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Mohd Shahar Abdullah; Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Dr Muhamad Akmal Saleh dan Meor Hassan Mat Ali.
Perebutan jawatan Ketua Puteri UMNO pula menyaksikan pertembungan enam penjuru antara Ahli MKT UMNO, Datuk Khaidirah Abu Zahar, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi (Naib Ketua Puteri), Dr Masliha Harun (Exco Puteri), Wan Noor Akyilah Wan Shapuddin (Ketua Puteri UMNO Bahagian Pandan), Fadhwa Anuar (Exco Puteri) dan Nurul Hazwani Haslan (Setiausaha Puteri).
Klik di sini untuk terus membaca